Saturday, January 2, 2010

Wahai 'orang ketiga' cermin-cerminlah diri!

Entah di mana silapnya, kebanyakan suami pada masa ini tidak tahu menghargai isteri dan nilai perkahwinan.
Sifat suami yang berlaku curang kepada isteri semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini tidak kira sama ada disedari oleh isteri atau suami itu sendiri.

Apakah kerana terdesak oleh keadaan atau memang suami isteri sekarang tidak setia terhadap pasangan mereka?

Inilah tajuk yang ingin saya kupas minggu ini kiriman seorang ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Mimi, berusia awal 30-an, ibu kepada dua orang cahaya mata. Menurut Mimi rasa meluat kepada keadaan dan perangai gadis zaman sekarang mendorongnya menulis kepada saya untuk meluahkan segala yang terbuku di hati. "Mungkin pada masa ini susah hendak mencari suami yang jujur dan setia kepada isteri. Walaupun isteri taat, jujur dan menatang mereka macam minyak yang penuh, suami tidak pernah menghargainya," demikian Mimi memulakan bicara.

Menurut Mimi kebanyakan rumah tangga musnah kerana kehadiran orang ketiga tidak kisahlah di pihak suami atau isteri. "Orang ketiga ini yang menjadi makhluk perosak dalam hubungan antara suami isteri. Mereka tidak ada perasaan dan hanya mementingkan diri sendiri."Macam kes saya membabitkan seorang gadis muda yang tidak langsung mengambil kira perasaan kita sebagai isteri."Mereka tidak peduli akan status lelaki yang mereka suka asalkan banyak duit, ada kedudukan dan hidup mewah.
"Mereka tidak ada perasaan malu untuk menjalin hubungan cinta dengan suami orang sebab hendak hidup senang. Sanggup pula berlakon di hadapan kita kononnya mereka gadis bersopan santun, berbudi bahasa dan hormatkan orang tua.

"Perkahwinan saya hancur kerana gadis berusia 22 tahun rakan sekerja suami. Dia selalu datang ke rumah saya bersama suami dan rakan-rakan pejabat lain."Saya tidak nampak sikap buruknya setiap kali berkunjung malah saya layan macam tetamu lain. Begitu bodohnya saya, rupanya mereka hanya berlakon, di belakang, mereka ada hubungan intim.

"Allah Maha Besar. Kebenaran terlerai juga akhirnya apabila saya terjumpa bil telefon suami dan juga tiket penerbangan dan penginapan mereka bersama di Bangkok, Thailand."Apalagi yang mereka ingin pertahankan jika buktinya sudah ada di dalam genggaman saya. Apa alasannya lagi?

"Saya juga tidak kuasa lagi hendak bertanya itu ini. Hati saya sudah tercalar. Kepercayaan juga turut hilang. Akhirnya saya mengambil keputusan menamatkan rumah tangga kami yang telah 10 tahun dibina. "Setelah bercerai baru saya tenang. Sehingga kini mereka masih berhubungan dan saya mendapat khabar tidak lama lagi mereka akan berkahwin.

"Persoalannya, jika hanya satu pihak yang memberi respon perkara begini tidak akan berlaku. Saya hairan bagaimana ibu bapa sekarang begitu mudah membenarkan anak-anak gadis mereka berkahwin dengan suami orang."Seingat saya pada zaman dulu jika anak perempuan bercinta atau mempunyai hubungan dengan suami orang, ibu bapa akan memaksa atau memukul anak mereka supaya menghentikan percintaan dengan suami orang itu. 

"Sayangnya itu tidak berlaku pada masa kini malah ibu bapa menyokong dan menggalakkan anak-anak gadis mereka berkahwin dengan suami orang."Agaknya seronok dapat hidup mewah kalau anak dapat lelaki berada walaupun suami orang. Apa hendak jadi dengan ibu bapa sekarang. Sanggup menyokong anak yang menghancurkan rumah tangga orang dan memutuskan kasih sayang antara bapa dengan anak-anaknya.

"Hancur hati saya mengenangkan apa yang berlaku kepada rumah tangga saya. Mereka sanggup menghancurkan rumah tangga orang lain hanya untuk kepentingan sendiri. Mereka juga tidak peduli untuk berkahwin dengan suami orang atau duda berbanding lelaki bujang.

"Walaupun saya telah menghadapi masalah yang perit dalam hidup, saya tidak pernah menyesal. Malah kejadian itu mengajar saya menjadi semakin matang."Nasihat kepada gadis sekarang yang menjalin hubungan dengan suami orang atau lelaki berumur, cermin-cerminlah diri.

"Memang soal jodoh, maut dan pertemuan itu urusan Allah SWT tetapi fikirkan perasaan orang lain dan risiko selepas anda menjadi perampas. "Ingatlah Allah itu Maha Kaya dan Adil. Setiap perlakuan akan ada pembalasan. Hanya masa menjadi penentu.


"Ingatlah, kebahagiaan yang dibina atas penderitaan insan lain tidak selamanya bahagia, ''
Mimi menutup ceritanya.

Banyak boleh dipelajari daripada kisah Mimi. Status bakal menantu bukan perkara utama kepada sebahagian ibu bapa.Hakikatnya bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. Apa pun saya kagum dengan ketegasan Mimi dalam meneruskan hidup bersama anak-anaknya.

Sabar dan tabah menghadapi dugaan kerana setiap kejadian ada hikmahnya. Doa saya agar Mimi akan diberi Allah kehidupan lebih bermakna di dunia dan akhirat.

Buat para gadis dan wanita yang terbabit dengan suami orang, ingat-ingatlah… fikirkan yang manis di kemudian hari kerana itulah kebahagiaan abadi dalam kehidupan bersuami isteri.

~ http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment