Monday, January 18, 2010

Kahwin, cerai ikut peraturan

KUALA LUMPUR: “Perkahwinan seharusnya berteraskan kebahagiaan dan ketenangan, jika tidak mampu meneruskan ikatan itu, ia boleh dibubarkan bagaimanapun perlu mengikut saluran yang betul,” kata Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia, Dr Robiah Kulop Hamzah.
Robiah berkata, setiap perkahwinan mempunyai matlamat, namun ada kalanya pasangan suami isteri tidak mendapat apa yang diimpikan terutama membabitkan kasih sayang dan harta.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam perkahwinan wanita berkenaan dengan suaminya, namun mungkin dia tidak mendapat apa yang diinginkan dan kerana itu dia memilih untuk memulakan hidup baru bersama lelaki lain.

“Bagaimanapun, dia melakukan kesilapan kerana bertindak terburu-buru sedangkan dia berhak meminta cerai sekiranya menganggap perkahwinannya tidak boleh diteruskan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, acara merisik, meminang dan bertunang mungkin dianggap sebagai budaya Melayu, namun ia sebenarnya berteraskan agama dan bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
“Budaya tidak akan berdiri tanpa agama dan langkah yang diambil sebelum meneruskan perkahwinan juga bukan sekadar mengikut resam Melayu sebaliknya dituntut dalam agama.

“Jika menganggap budaya tidak penting dan boleh diubah sesuka hati, maka kerana itulah jadi perkara mengelirukan dan ada ketikanya memalukan,” katanya.

Robiah berkata, wanita itu tidak boleh dipersalahkan kerana dia mungkin mengalami masalah psikologi sehingga tidak mahu berkongsi perkara penting dengan keluarganya.

“Sepatutnya hal berkaitan perkahwinan perlu diketahui keluarga, namun mungkin wanita itu mempunyai alasan tersendiri mengapa dia tidak mahu berkongsi hasratnya dengan keluarga.

“Apa yang paling penting adalah didikan agama dan penerapan kasih sayang sejak kecil kerana ia akan melahirkan rasa tanggungjawab bahawa ibu bapa dan keluarga perlu tahu dan masuk campur dalam hal membabitkan masa depan,” katanya.

Menurut Robiah, rasa akrab dan sayang kepada keluarga perlu disemai sejak kecil supaya lahirnya individu yang tahu menghormati dan akan dihormati.

“Ada kalanya kita suka menghukum orang yang buat salah sebagai seorang yang jahat dan suka melakukan kesilapan sedangkan ibu bapa seharusnya memberi didikan yang rapi supaya anak-anak tahu apa yang patut dan tak boleh dilakukan.
“Jangan menghukum orang lain sedangkan kita tidak tahu apa yang tersemat dalam hati wanita terbabit dan pengalaman pahit yang dilalui,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa dan keluarga wanita itu tidak seharusnya malu dengan apa yang berlaku sebaliknya mengambil sikap terbuka dan mengadakan rundingan dengan cara baik.

~ Sumber : http://www.hmetro.com.my, Isnin 18 Januari 2010

No comments:

Post a Comment