Tuesday, April 13, 2010

Suami cetek ilmu agama = Penganiayaan isteri ???

Soalan

Saya seorang isteri berusia 26 tahun, mempunyai seorang cahaya mata dan bekerja. Masalahnya, berdosakah saya memberi duit, pakaian kepada kedua ibu bapa saya, adik beradik saya menggunakan duit saya sendiri tanpa pengetahuan suami saya.

Sebab merahsiakan, suami tidak menggalakkan saya membuat perkara di atas dengan alasan pendapatan tidak mencukupi. Pernah kami berselisih faham akibat saya memberitahu perkara tersebut kpd suami saya.

Tetapi, saya rasa pendapatan kami cukup jika berbelanja secara sederhana. Hampir keseluruhan jumlah duit gaji saya setiap bulan saya berikan kepada suami untuk menampung hidup kami sekeluarga. Saya ikhlas. Hanya sedikit sahaja saya gunakan duit saya untuk dihantar ke kampung saya.

Tolonglah saya, kerana saya sentiasa dibelenggu rasa bersalah terhadap diri sendiri.

Jawapan

Assalamu'alaikum,

Seorang suami wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Tetapi jika isteri bekerja maka pendapatannya adalah hak miliknya dan suami tidak berhak ke atas duit tersebut melainkan dengan persetujuan isteri. Walaupun duit tersebut menjadi hak milik isteri dan isteri bebas menggunakannya tak kira untuk apa tujuan sekalipun, isteri mesti mendahulukan keperluan keluarganya. Sekiranya ada terdapat baki dari jumlah perbelanjaan yang telah di peruntukkan maka terpulang pada isteri untuk menggunakannya untuk keperluan peribadi atau menyimpannya.

Dalam masalah peribadi (termasuk seperti yang puan utarakan) isteri perlu berbincang dengan suami untuk memohon keizinan. Sekiranya isteri sudahpun memberitahu suami dan ternyata suami tidak bersetuju sebagaimana masalah puan iaitu untuk membantu keluarga puan maka puan boleh merahsiakannya kerana tanggungjawab seorang anak tetap tidak putus walaupun sudah berumahtangga cuma bezanya bagi perempuan dia perlu mendahulukan suaminya dari orang lain walaupun ibu bapanya.

Dalam islam jika isteri ingin berbuat kebaikan kepada kedua orang tuanya dan suaminya menghalang maka dia boleh melaksanakannya tanpa perlu memberitahu suaminya. Puan tidak berdosa kerana puan berniat baik untuk membantu meringankan masalah kewangan ibu bapa puan sebaliknya suami puan yang berdosa kerana mengahalang puan membantu ibu bapa puan.

Kadang-kandang dalam masalah suami isteri ini timbul sedikit penyalahgunaan 'TITLE'. Kebanyakan suami yang cetek ilmu agamanya mereka sewenang-wenangnya menggunakan gelaran suami yang tidak berlandaskan syariat.

Bila itu semua terjadi maka terjadilah kes penganiayaan terhadap isteri, menyalah gunakan duit isteri, memutuskan hubungan kerabat dengan isteri, menghalang isteri menuntut ilmu agama dan bermacam macam lagi. Ini semuanya kerana ilmu suami yang cetek yang beranggapan suami itu lebih berhak ke atas isteri berbanding orang lain.

Sekiranya suami itu cukup ilmu pengetahuannya dalam bidang agama, tidak timbul sebarang masalah. Pernah terjadi seorang isteri mengadu suaminya melarang isterinya menziarahi ibunya yang terlantar sakit sehinggalah ibunya meninggal suaminya tetap melarang isterinya pergi melihat ibunya buat kali terakhir. Selain dari keluar menuntut ilmu, dalam keadaan ini isteri boleh keluar walaupun suami tidak mengizinkan. Untuk pengetahuan puan, baki duit itu adalah duit puan dan puan berhak ke atasnya.

http://baheis.islam.gov.my/web/musykil_new.nsf/92be69fae3f225c0482567f1005a8e7b/3948b1f0285d911b4825747f0015945e?OpenDocument

Sumber : http://cikgumardiah.blogspot.com/2010/04/isu-rumahtangga-dari-perspektif-agama.html