Saturday, January 16, 2010

Sekufu suami isteri - Penting dalam perkahwinan

`Sama cantik sama padan'. Itulah ungkapan yang sering diucapkan orang ramai
untuk memuji kecantikan dan ketampanan sepasang pengantin baru.

Para undangan yang datang ke majlis perkahwinan, sudah tentu mengagumi dan senang melihat pasangan suami isteri yang `bagaikan pinang dibelah dua' dari sudut paras rupanya, berbanding pasangan yang tidak sepadan (sekadar mengambil contoh yang paling mudah).

Perasaan sedemikian jelas menunjukkan naluri kita sebagai manusia yang sukakan keindahan, dan menolak sesuatu yang tidak sepadan dan setara.

Apatah lagi perkahwinan merupakan ikatan perjanjian dua orang insan untuk berkongsi segalanya dalam menempuh kehidupan seterusnya. Oleh kerana itu sebaik-baiknya kedua-duanya setaraf dalam banyak hal supaya rumah tangga yang akan diharungi lebih mudah dilayari.

Ini kerana perbezaan yang terlalu banyak dan ketara hanya akan menyusahkan kehidupan yang akan dibina.

Satu pihak akan merasa rendah diri kerana kelemahan dan kekurangan yang ada padanya. Sementara di pihak yang lain pula akan timbul rasa sombong dan ego dengan kelebihan yang dimilikinya.

Sekufu, setaraf atau sepadan merupakan istilah yang digunakan oleh para ulamak dalam bab perkahwinan. Ia menunjukkan kesepadanan antara suami isteri, yang telah diterima oleh majoriti ulamak sebagai pra syarat dalam pernikahan.

Bahkan mereka berpendapat, jika tiada sekufu antara kedua-duanya, maka isteri atau walinya berhak menuntut fasakh selepas perkahwinan.

Ia berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: ``Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya.''

Ketua Jabatan Siasah Syar`iyyah, Akademi pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dalam hal ini menjelaskan, dari sudut hukum syara, ulamak telah memberikan pelbagai aspek yang perlu dilihat dari sudut kufu bagi mewujudkan perkahwinan yang bahagia.

``Menurut Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan Syafie, persamaan suami dan isteri perlu dilihat dari aspek keturunan, keagamaan, pekerjaan, fizikal (yang sempurna), keilmuan dan harta.

``Pandangan majoriti ulamak ini adalah berasaskan dalil-dalil al-Quran dan sunah serta kemaslahatan perkahwinan itu sendiri, yang bertujuan melahirkan kasih sayang dan kesejahteraan di dunia dan akhirat,'' ujar beliau ketika membentangkan kertas kerjanya, Wanita Berjaya: Kedudukan Mereka Di sisi Suami Dan Kepentingan Kufu Dalam Perkahwinan di Seminar Memahami Kedudukan Wanita Berjaya dari Perspektif Islam, yang dihadiri lebih kurang 260 peserta pada 5-6 Ogos 2003.

Sekufu atau sepadan yang dimaksudkan dalam perkahwinan ini dilihat dari empat sudut:

1. Sekufu dalam agama

Ia mengambil kira peringatan Allah s.w.t. dalam surah as-Sajadah ayat 18 yang bermaksud: ``Adakah orang-orang yang beriman itu sama seperti orang-orang yang fasiq. Mereka itu tidak sama.''

Firman-Nya lagi ``Lelaki yang penzina tidak berkahwin kecuali dengan wanita penzina.'' (An-Nur : 3).

Daripada dalil-dalil yang disebutkan, menunjukkan bahawa jaminan kebahagiaan dan kesecocokan antara pasangan suami isteri tidak cukup hanya dengan persamaan agama sahaja, iaitu agama Islam.

Bahkan kefahaman dan pegangan terhadap agamanya itu sangat penting. Seperti kata Ibnu Taimiyyah ``Lelaki yang selalu melakukan dosa tidak sewajarnya dijadikan suami.''

Hasil daripada penyelidikan tentang punca perceraian di Wilayah Persekutuan dan Kelantan, menyebut di antaranya ialah kerana kefahaman agama yang rendah.

Hal ini dapat dirumuskan melalui hasil kajian yang ditulis oleh Shamsiah bin Mustaffa (1996) mengenai Perceraian di kalangan orang kaya dan kenamaan di Mahkamah Syariah, Wilayah Persekutuan yang merujuk kepada tiga kes utama.

Manakala dalam kajian yang dilakukan oleh Saudah Abdullah (2001/2002) mengenai Faktor Perceraian Umat Islam Masa Kini: Kajian di Kubang Krian, Kelantan, pula mendapati bahawa punca perceraian disebabkan oleh sikap suami yang mengabaikan tanggungjawab agama, tidak memberi nafkah zahir dan batin, dan disebabkan oleh faktor kaki judi dan penagih dadah.

2. Sekufu dalam ilmu

Dalam aspek perkahwinan, ketiadaan sekufu dalam ilmu boleh mendorong perselisihan faham dan percanggahan idea dan gaya berfikir, seterusnya gaya hidup yang boleh menggoncang kehidupan berumahtangga.

Perbezaan cara berfikir yang di antaranya disebabkan faktor ilmu ini juga telah dikenal pasti sebagai faktor perceraian dalam kajian-kajian yang telah dinyatakan di atas.

Firman Allah yang berikut menunjukkan kedudukan orang berilmu adalah lebih baik daripada orang yang tidak berilmu, ``Allah telah mengangkat darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat.'' (Al-Mujadalah : 11).

3. Sekufu dalam pekerjaan

Firman Allah s.w.t. ``Dan Allah melebihkan sebahagian kamu daripada sebahagian yang lain dalam hal rezeki.'' (An-Nahl : 71), dijadikan asas pemikiran sebahagian ulamak khususnya Imam Syafie, Hanbali dan Hanafi untuk melihat faktor pekerjaan sebagai di antara aspek yang boleh mewujudkan kufu antara suami dan isteri.

4. Sekufu dalam kekayaan

Dalam meletakkan kekayaan sebagai salah satu aspek penentuan kufu, hanya Mazhab Syafie dan Hanafi yang mengambil kira. Sedangkan ulamak yang lain lebih cenderung untuk tidak menganggapnya sebagai faktor kufu, dengan alasan harta itu boleh ditambah dan boleh pula berkurangan (dalam tempoh perkahwinan).

Menurut Dr. Sharifah lagi, selain aspek-aspek di atas, aspek-aspek lain yang juga menjadi perbincangan ulamak ialah aspek umur, hubungan kekeluargaan (daripada nasab yang dekat) dan gaya hidup.

``Walaupun begitu ada di kalangan segelintir ulamak yang tidak bersetuju menjadikan kufu sebagai pra syarat yang perlu diambil kira dalam perkahwinan. Ia berasaskan kepada dalihan bahawa semua umat Islam adalah setaraf dan bersaudara. Dan ketinggian mereka berbanding yang lain itu ditentukan oleh Allah berasaskan ketakwaan,'' jelas beliau dalam seminar dua hari tersebut yang dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Dan keluarga.

Perlu diingatkan bahawa asas pemilihan suami dan isteri berasaskan kufu yang dibahaskan oleh para ulamak, bukanlah menjurus kepada memandang seseorang itu sebagai lebih tinggi atau rendah, lebih baik atau kurang baik daripada yang lain.

Sebaliknya, tujuannya adalah untuk menambah eratkan lagi kasih sayang dan persefahaman melalui kufu dan mengelakkan pelbagai bentuk perselisihan dan persengketaan dalam perkahwinan."

Oleh FARIDAH MOHAMED SANI

No comments:

Post a Comment