Monday, January 25, 2010

Niat ikhlas hapus 4 perkara halang manusia beribadat

KEIKHLASAN hati dan jiwa melakukan ibadat kepada Allah adalah kemuncak kepada kemurnian nurani seseorang kerana dengan sifat ikhlas saja mampu menghalang daripada perkara yang menghadang diri untuk beristiqamah. Ulama besar al-Imam Ghazali menyatakan ada empat perkara besar yang selalu menjadi penghalang untuk beribadat kepada Allah iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan. Jika diteliti maksud dunia seperti diperkatakan ilmu tasauf merangkumi semua perkara yang tidak memberi manfaat apabila seseorang kembali ke hadrat Ilahi seperti wang, harta menimbun atau pangkat.
Setiap amalan bermula dengan niat. Justeru, jika niat kerana Allah maka amalan menjadi ibadat, tetapi ia hanya adat jika sebaliknya. Setiap perbuatan harus disertai niat untuk mendapat keredaan Allah.
Keduanya ialah gangguan dan halangan makhluk Allah termasuk anak, binatang ternakan dan harta yang boleh melalaikan manusia sehingga lupa kewajipan menunaikan ibadat wajib serta sunat.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pinak kamu itu adalah ujian kepada kamu.” (Surah al-Anfal, ayat 28)
Harta apabila sudah menimbun, ada kalanya menjadikan seseorang hamba kepada hartanya. Malah, ada yang sanggup meninggalkan tanggungjawab mengerjakan solat kerana terlalu menjaga harta benda. Ada juga ibu bapa yang melewatkan solat atau tidak mengerjakannya pada tempoh difardukan semata-mata melayan kerenah serta tuntutan anak.

Ketiganya ialah keinginan atau lebih dikenali sebagai nafsu yang sentiasa merajai diri. Penghalang dalam diri ini yang selalu sukar dilawan hingga terus tumbuh dan menyubur dalam diri setiap insan.
Manusia sering tunduk serta tewas dengan kehendak nafsu sendiri sehingga terpedaya dengan bisikan supaya meninggalkan tanggungjawab terhadap Allah. Ada pula meninggalkan solat dan puasa fardu semata-mata memenuhi dan menghormati undangan rakan.

Tidak kurang yang meninggalkan solat fardu kerana memenuhi tuntutan tugas yang memerlukan mereka sentiasa bergerak atau berada lebih lama di tempat duduk menyudahkan tugasan diberi seolah-olah sudah tiada masa lagi untuk menyiapkannya.

Keempat adalah desakan iblis dan syaitan yang sentiasa menggoda dengan tipu daya supaya manusia mengikut mereka ke arah kesesatan sehingga hari kiamat. Godaan itu datang dengan pelbagai cara dan rupa.
Ketika solat juga syaitan terus menggoda hamba Allah supaya hilang tumpuan dan kerja mereka menjadi lebih mudah apabila manusia dalam keadaan leka.

Rasulullah SAW mengajarkan doa yang bermaksud: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan aku berlindung dengan Allah daripada kehadiran syaitan itu kepadaku.”

Pernah suatu ketika Aisyah, isteri Baginda Rasulullah SAW dalam keadaan marah. Melihatkan hal itu lalu Rasulullah SAW menegur isterinya dengan berkata: “Wahai Aisyah, kamu ini masih dikuasai syaitan kamu". Aisyah terperanjat lalu bertanyakan Baginda apakah setiap manusia dibekalkan syaitan? Lalu Rasulullah SAW menjawab: "Ya, saya sendiri mempunyai satu syaitan, tetapi syaitan saya sudah masuk Islam.”

Golongan insan yang sukar diperdaya iblis dan syaitan adalah mereka yang meletakkan sifat ikhlas dan jujur di puncak ibadat kepada Allah. Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan tiadalah mereka diperintah melainkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dengan berterusan.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)
Firman Allah lagi yang bermaksud:
“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka.” (Surah al-Fatir, ayat 6)
Kekuatan dan iltizam serta istiqamah dalam diri boleh menyingkirkan keempat-empat halangan melakukan ibadat kepada Allah. Selain niat yang ikhlas, kekuatan melawan bisikan supaya terus lalai memudahkan seseorang melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

Pada masa sama, sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan mendalami ilmu agama serta meningkatkan keimanan melalui amalan sunat kerana kesibukan melakukan perkara baik dapat mengelak daripada terjebak dengan hasutan membawa kepada kelalaian.

INFO: Penghalang ibadat
  1. Dunia – semua perkara yang tidak memberi manfaat apabila seseorang kembali ke hadrat Ilahi seperti wang, harta menimbun atau pangkat.
  2. Gangguan makhluk – termasuk anak, ternakan dan harta yang boleh melalaikan manusia sehingga lupa kewajipan menunaikan ibadat.
  3. Nafsu – keinginan yg sentiasa merajai diri dan sukar dilawan sehingga terus subur dlm diri setiap insan.
  4. Iblis dan syaitan – menggoda dengan pelbagai cara supaya manusia mengikut mereka ke arah kesesatan sehingga kiamat.


~ Wan Marzuki Wan Ramli

CINTA ITU BUKAN TUHAN!

Semalam saya di akademi Pengajian Melayu UM. Melayani remaja yang ingin tahu tentang Hati Ku Milik Siapa? Seminggu dulu di UIA Nilai, begitu juga. Berbicara tentang cinta, hati, kasih dan sebagainya. Takdir menentukan begitu… terlalu lemah untuk ditadbir apatah lagi untuk diusir amanah itu.
Banyak sekali dibicarakan tentang cinta. Tetapi kali ini ingin saya tegaskan:  
CINTA ITU BUKAN TUHAN!
Ikutilah tulisan yang seadanya ini…

 
Seorang suami pernah meluahkan rasa hatinya kepada saya. Yakni tentang gangguan perasaan yang dialaminya. Dia diusik kenangan lama apabila bertemu dengan bekas kekasihnya semula. Entah kenapa perasaan cinta mereka seakan berputik kembali.

“Kami terlalu cinta. Malangnya kami tidak ada jodoh. Kami terpaksa berpisah dan kemudiannya menemui jodoh masing-masing.”

Dia mengadu setelah hampir sepuluh tahun, tidak sangka hatinya masih berbunga cinta. Dan ajaibnya cinta, ia tidak mengenal usia. Sedangkan kini dia sudah punya dua orang anak dan kekas kekasihnya pun ada seorang anak. Masing-masing sudah punya keluarga.

“Apa masalahnya?” tanya saya seperti sukar memahaminya.

Dia kemudian mengakuinya bahawa bekas kekasihnya pun rupa-rupanya juga masih mencintainya.

Cinta bukan Tuhan, itulah jawapan pendek yang saya berikan padanya. Saya tegaskan tidak semua kehendak cinta mesti kita patuhi. Bila cinta melanggar batas-batas rasional, nilai-nilai kemanusiaan dan yang paling utama melanggar syariat, kehendaknya mesti dihentikan.

Saya ingatkan kepadanya, pertimbangkanlah bagaimana nasib isteri dan anak-anaknya nanti jika kehendak cinta yang “gila” itu dipenuhi. Pergi memburu cinta yang tidak pasti, lalu meninggalkan anak-anak dan isteri yang diamanahkan Allah… Berbaloikah?

Dan yang paling utama, bagaimana pula hukum Allah yang akan dilanggar jika hubungan terlarang (haram) itu diteruskan. Mencinta isteri dan suami orang adalah haram. Curang itu khianat. Khianat itu adalah antara ciri kemunafikan. Ya, cinta memang buta, tetapi orang yang bercinta (lebih-lebih lagi orang beriman) jangan pula sampai buta mata hati untuk mengawal dan mengendalikan rasa cinta.
Demi cinta sanggup berdosa?
Demi cinta sanggup menempah neraka?  
Fikir dan zikirkanlah (ingatkanlah)!

Malangnya, begitulah realitinya kini. Cinta dimertabatkan terlalu agung dan disanjung membumbung…
Demi cinta segala-galanya berani diterjah dan sanggup diredah.
Tidak percaya?
Bacalah masalah-masalah masyarakat yang dipaparkan di dada akhbar atau majalah.
Isteri jatuh cinta pada suami orang. Suami jatuh cinta kepada wanita lain dan rela meminggirkan isteri sendiri. Bila ditanya kenapa?
Kebanyakannya menjawab, “apa boleh buat, kami sudah jatuh cinta!”

Inilah gara-gara dan bahananya menonton filem cinta versi Bollywood, Hollywood atau filem-filem “yang sewaktu dengannya”. Inilah impak lagu-lagu cinta yang menyumbat telinga dan menyempitkan jiwa. Secara tidak sedar filem-filem dan lagu-lagu itu telah menawan “akal bawah sedar” sesetengah masyarakat, bukan sahaja remaja, bahkan “retua” hingga sanggup menobatkan cinta sebagai Tuhan dalam kehidupan.

Lihat sahaja bagaimana hero dan heroin dalam filem-filem tersebut sanggup melepasi apa jua halangan demi penyatuan cinta mereka. Pengorbanan demi cinta disanjung dan dipuja walaupun jelas melanggar tatasusila dalam beragama. Kerap kali ibu-bapa dipinggirkan, kononnya kerana menghalang kehendak cinta.
Apa sahaja plot dan klimaks cerita, cinta akan dimenangkan.
Seolah-olah tujuan hidup manusia hanya semata-mata untuk cinta!

Mari kita renung sejenak. 
Cuba tanyakan siapakah yang mengurniakan rasa cinta di dalam hati setiap manusia? 
Tentu sahaja jawabnya ialah Allah.
Allah mencipta manusia, hati, akal dan perasaannya. Cinta itu fitrah yang dikurniakan Allah pada setiap hati. Lalu kita tanyakan lagi untuk apakah Allah berikan naluri cinta ini?

Untuk mengetahui apa tujuan cinta kita perlu kembali kepada persoalan asas, untuk apa manusia dijadikan? Ini adalah kerana semua yang diberikan Allah kepada manusia adalah untuk memudahkan manusia menjalankan tujuan ia diciptakan oleh Allah.

Apakah tujuan Allah menciptakan manusia?
Tidak lain, hanya untuk menjadi hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini.

Ini ditegaskan sendiri oleh Allah melalui firman-Nya:
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menjadi hamba (beribadah) kepada-Ku.”
Al Dhariyat 51: 56

Dan Allah menegaskan lagi:
“Kami jadikan di muka bumi manusia sebagai khalifah.”
Dua tujuan penciptaan manusia ini adalah amanah yang sangat berat.

Allah menegaskan lagi:
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, namun semuanya enggan memikul amanat itu kerana mereka khuatir mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu tersangat zalim dan jahil.” Al Ahzab 72
Sebagai hamba Allah, manusia perlu mengabdikan dirinya kepada Allah setiap masa, ketika dan di mana sahaja. Ia perlu menjadi manusia yang baik melalui ibadah-ibadah fardu Ain yang diwajibkan secara personel oleh Allah ke atas dirinya. Dan sebagai khalifah di muka bumi, manusia perlu mengurus, mentadbir dan memakmurkan muka bumi ini berpandukan hukum-hakam Allah s.w.t. Ini adalah tanggung-jawab yang berat dan memerlukan penyertaan orang lain bersama-sama untuk dilaksanakan. Kebanyakannya amalan berbentuk fardu kifayah ini memerlukan tenaga jemaah.

Allah swt Maha Mengetahui akan kelemahan manusia. Dua tujuan yang besar penciptaan manusia itu tidak boleh dipikul secara bersendirian. Justeru, awal-awal lagi manusia ujud secara “co-existance” (ujud secara bersama). Kebersamaan ini sangat perlu untuk memberi kekuatan bagi memikul tujuan hidup yang sangat besar dan berat itu. Dan titik awal perpaduan antara seorang manusia dengan seorang manusia yang lain ialah hubungan suami-isteri yang membentuk sebuah keluarga.

Keluarga adalah nukleus yang pertama dalam hubungan sesama manusia.
Daripada sebuah keluarga terbentuklah masyarakat, daripada penyatuan masyarakat terbentuklah daerah, negeri, negara dan akhirnya dunia kehidupan yang lebih besar dan luas.
Lihatlah bagaimana segala bentuk perhubungan itu semuanya berasal daripada hubungan seorang lelaki (suami) dan seorang wanita (isteri).

Maha suci Allah yang menyatukan manusia dalam pakej-pakej perhubungan yang bernama keluarga, masyarakat, daerah, negeri, negara dan dunia antarabangsa.
Semua itu untuk apa?
Ya, untuk bersatu bagi menjalankan peranan mereka sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. 
Tugas yang berat dan mencabar itu akan terasa lebih mudah jika dipikul bersama-sama. Tanpa hubungan dan bantuan daripada orang lain, manusia tidak akan terpikul amanah yang besar itu.

Sesungguhnya, untuk memulakan tapak asas atau benih permulaan hubungan antara manusia dengan manusia itulah Allah ciptakan rasa cinta. Allah datangkan rasa rindu, sepi dan inginkan teman di dalam hati Nabi Adam. Pada hal Nabi Adam tinggal di syurga – tempat terhimpunnya segala nikmat dan keindahan.

Namun, tanpa seorang “teman wanita”, Nabi Adam masih terasa kesepian jua. Allah jugalah yang mengurniakan rasa itu, untuk menjadi sebab terbentuk hubungan suami-isteri yang kemudiannya menjadi sebab pula lahirlah zuriat demi zuriat yang melahirkan generasi manusia.

Dan kemudian datanglah musim ujian. Cinta mereka berdua terpisah ketika “tercampak” ke alam dunia. Setelah sekian lama cinta mereka terpisah (sebagai kafarah satu kesalahan), akhirnya mereka bertemu di padang Arafah. Dan dari situlah bergabunglah jiwa, minda, perasaan dan tenaga mereka berdua untuk menjalankan peranan sebagai hamba Allah dan khalifah di dunia.

Cinta itu bukan tujuan… Cinta itu hanya jalan. Cinta itu bukan matlamat, cinta itu cuma alat. Rasa ingin mencintai dan dicintai dalam diri setiap manusia pada hakikatnya adalah untuk membolehkan manusia melaksanakan tujuan ia diciptakan. Cinta itu mengikat hati antara lelaki dengan wanita untuk sama-sama membentuk ikatan perkahwinan demi menyempurnakan agama. Justeru kerana itulah Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Barang siapa yang berkahwin maka sempurnalah separuh agamanya, tinggal separuh lagi untuk dilaksanakan.”
Cinta memang penting, tetapi ibadah dan menegakkan hukum Allah jauh lebih penting. Sayangnya, hakikat ini sangat jarang difahami dan dihayati oleh orang yang bercinta. Tujuan cinta sering dipinggirkan. Ibadah dan hukum Allah yang tinggi dan suci telah dipinggirkan hanya kerana cinta. Kononnya, cinta itu sangat suci dan tinggi.

Mungkin rasa seperti itulah yang berbunga di dalam jiwa si suami yang diimbau nostalgia cinta lama oleh bekas kekasihnya yang saya sebut pada awal tulisan ini. Kerana cinta, terdetik dalam hatinya untuk bersama bekas kekasih walaupun terpaksa mengorbankan anak dan isterinya. Mungkin rasa cinta itulah juga yang menyebabkan ramai wanita mengorbankan kehormatan diri kepada kekasih hati demi membuktikan ketulusan cintanya. Mungkin kerana itulah juga seorang anak sanggup berpisah dengan ibu-bapanya demi memburu cinta.

Bertuhankan cinta samalah bertuhankan hawa nafsu. Bila tujuan suci dan hakiki dipinggirkan, timbullah tujuan keji dan ilusi sebagai ganti. Sering terjadi nafsu seks dijadikan tujuan di sebalik rasa cinta. Cinta yang berbaur dengan kehendak seks inilah yang pernah dikecam oleh Al Farabi dengan katanya:
“Cinta yang berlandaskan nafsu seks adalah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan kepada haiwan!”
Ironinya, ada yang berkata, “lelaki memberi cinta untuk mendapatkan seks. Wanita memberi seks untuk mendapatkan cinta.” Eksploitasi dan manipulasi cinta ini tidak akan memberi kebahagiaan kepada sesiapa – baik kepada lelaki mahupun kepada wanita. Lelaki yang mendapat seks dengan memperalatkan cinta, tidak akan pernah puas. Kehendak nafsu tidak terbatas dan tidak akan pernah puas.
Melayani nafsu, umpama minum air laut… semakin diminum, semakin haus.

Manakala wanita yang memberi seks, kononnya untuk mendapat cinta, tidak akan mendapat cinta yang sejati. Mereka hanya akan menemui kasanova dan lelaki hidung belang yang hanya cinta sebelum dapat apa yang diidamkan, tetapi tunggulah sebaik sahaja habis manis sepahnya dibuang.
Wanita-wanita malang ini bukan hanya kehilangan cinta, tetapi hilang maruah, kehormatan dan harga diri.

Letakkanlah cinta sebagai alat untuk beribadah kepada Allah.
Ujudkanlah rumah tangga bahagia yang menjadi wadah tertegaknya kalimah Allah.

SYURGA RUMAHTANGGA
Binalah rumah-tangga di tapak iman
Tuluskan niat luruskanlah matlamat
Suami pemimpin arah tujuan
Isteri pembantu sepanjang jalan
Lalu mulakanlah kembara berdua
Kerana dan untuk… Allah jua
Di tapak iman dirikanlah hukum Tuhan
Iman itu tujuan Islam itu jalan
tempat merujuk segala kekusutan
tempat mencari semua penyelesaian
rumah jadi sambungan madrasah
berputiklah mawaddah…
berbuahlah rahmah
Inilah kunci kebahagiaan rumah-tangga
setia dan penyayang seorang suami
cinta dan kasih seorang isteri
Lalu berbuahlah mahmudah demi mahmudah
lahirlah zuriat yang soleh dan solehah!

~ http://genta-rasa.com

BUNGA YANG CANTIK JARANG HARUM…

Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah “cermin” dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.

Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?

Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu… setiap wanita berhak untuk cantik!




Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanita iaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.

Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendek kata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.

Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.

Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul.

Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu?

Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga.  Kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.

Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh.
Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, ‘beauty in the eye of beholder’.

Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.

Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluargha dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tutur katanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah… mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.

Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bilawanita mula merasai dirinya cantik dan mempamerkan kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua’lam.

Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah.

Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.

Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.

Bagaimana mendapat kecantikan sejati?
Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.

Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?

Ya, kecantikan akhlak… boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa… tapi peluangnya untuk “cantik” tetap serupa!

BERCINTALAH BERKALI-KALI


Melalui pengalaman, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan jadi semakin becok tetapi lelaki sebaliknya jadi semakin pendiam. Watak wanita yang pemalu bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan rumah tangga yang terus bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak selesai-selesai. Manakala lelaki yang dulunya, ceria dan banyak cakap, perlahan-lahan menjadi pendiam (ada kalanya muram) apabila beban penanggungan keluarga semakin bertambah.

Ya, jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami isteri menjadi semakin “bisu”. Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata bila berdepan dengan suami. Suami apatah lagi, jika di luar rumah pun sudah semakin pendiam di dalam rumah lebih-lebih lagi. “Mati kutu” memanjang.

Pernahkah kita kehilangan kata-kata apabila bertemu dengan isteri atau suami? Bukan hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah sekadar untuk bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang hendak diperkatakan lagi. Lalu rumah tangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Seolah-olah sudah tidak ada apa lagi yang boleh dikongsi.
Kekadang perasaan itu datang kerana kerap kali apabila suami bersuara hendak meluahkan masalah, isteri membalasnya dengan selamba. Ah, masalah aku lebih besar. Atau terdetik di hati, balik-balik yang itu juga. Bosan. Begitu juga bagi pihak suami, sudah lali mendengar “siaran ulangan” yang kerap diperdengarkan isteri. Masalah anak, masalah kesihatan, masalah wang… tidak ada cerita baru!

Ada kalanya duduknya rapat-rapat, tetapi sudah tidak bertemu lagi. Masing-masing menonton TV, dari awal rancangan hinggalah tamat siaran, tetapi tidak ada yang dibualkan. Tidak ada yang dapat dikongsikan. Boleh jadi dalam kereta, sisuami sibuk memandu, di sebelahnya isteri membisu. Muram tanpa reaksi atau respons. Mujur masih ada anak-anak yang menjadi “mediator” secara tidak rasmi, terhubung jugalah kata-kata atas apa yang ditimbulkannya. Bila anak tiada, keadaan pun menjadi sepi semula.

Oh, maaf… saya tidak bercakap tentang “orang baru” yang masih berbulan madu, ketika itu segala-galanya indah sahaja. Perkara yang kecilpun boleh menjadi topik perbualan yang berjela-jela. Sejak senja melabuh tirainya hingga terkuak mentari pagi, cerita tidak habis-habis lagi. Ini cerita orang lama. Apakah kehilangan kata-kata menunjukkan kehilangan cinta? Mana yang lebih tepat, cinta yang melahirkan kata-kata atau kata-kata yang melahirkan cinta?

Bagi saya, kedua-duanya betul dan patut dipraktikkan. Benar, sewaktu mula bercinta dahulu, cintalah yang melahirkan kata-kata, tetapi apabila cinta telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu diluahkan untuk mengharumkan cinta. Ingat kita bercinta bukan hanya sekali tetapi kita perlu bercinta berkali-kali.

Apa maksudnya? Maksudnya, kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang sama (isteri kita). Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan luahan kata-kata yang baik. Jangan membisu, jangan menjadi tuli. Sentiasa jadi lidah yang menuturkan kata-kata yang baik dan telinga yang sentiasa terbuka mendengarnya.
Kata bijak pandai, the first duty of love is to hear – tugas cinta yang pertama ialah untuk mendengar. Itu betul, tetapi jika tidak ada apa yang hendak diperkatakan apa pula yang hendak kita dengarkan?

Jadi untuk menjadi pendengar, mesti ada “penuturnya”. Kata-kata yang baik umpama sedekah, kita mesti ringan mulut untuk memulakannya. Ada kalanya berdiam diri tidak terpuji, apatah lagi jika sudah ke tahap menimbulkan sangsi.

Ada orang yang petah dan becok bercakap dengan orang lain di tempat kerja, tetapi bertukar jadi pendiam di dalam keluarga sendiri. Sikap peramahnya boleh bertukar jadi pemarah bila di rumah. Marah yang tertahan itulah kekadang menimbulkan diam yang panjang. Lama-kelamaan, jika tidak diuruskan baik, marah terpendam akan menjadi dendam. Dendam itulah yang akan mewujudkan diam yang panjang!

Di dalam ilmu pengurusan komunikasi ada hukum yang dinamakan “hukum 24 jam”. Hukum ini menyatakan jangan dibiarkan krisis yang berlaku antara rakan sekerja melepasi temph 24 jam. Mesti ada di antara mereka (seelok-eloknya kedua-duanya) bertindak memecahkan kebuntuan itu dengan mengambil inisiatif menegur, memandang atau memberikan sebarang reaksi atau petunjuk ingin berbaik-baik semula.

Jangan malu alah untuk memulakan. Justeru, jika tempoh 24 jam sudah berlalu, dan tidak ada sebarang inisiatif dilakukan, maka peluang untuk berbaik-baik semula akan menjadi lebih sukar. Maka begitulah dalam sebuah rumah tangga, teguran dan percakapan yang pertama untuk mengujudkan kemesraan semula setelah lama membisu adalah sangat mahal harganya. Percayalah inilah termasuk dalam tuntutan menghubung silaturahim yang sangat besar pahalanya di sisi Islam. Dalam Islam, siapa yang memulakan langkah untuk memberi satu kebaikan sesungguhnya mendapat ganjaran yang lebih besar daripada pihak yang menerimanya. Sebab itu, orang yang datang berziarah lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang diziarahi.

Maka begitulah dalam rumah tangga. Untuk bercinta lagi, luahkanlah kata-kata yang baik untuk mencairkan prasangka, meleburkan curiga dan memadamkan dendam. Cari-carilah topik yang menarik untuk diperbualkan. Antara kaedahnya ialah:

• Berdoa untuk Allah ilhamkan kata-kata yang baik dan menarik semasa memulakan perbualan.
• Menerima dan berkongsi hobi dengan pasangan.
• Ulas apa yang anda dengar, lihat atau baca dgn pasangan serta kaitkan dgn situasi terkini dlm rumah tangga.
• Sekali-sekala masak bersama resipi kesukaannya.
• Jangan prasangka dan curiga dengan selalu memaafkan selagi pasangan tidak melanggar syariat.
• Amalkan peraturan 24 jam. Jangan biarkan “gencatan suara” melebihi masa 24 jam. Mujahadahlah utk meminta maaf secara resmi atau tidak resmi.
• Tempoh-tempoh yang dirasakan sukar dalam perhubungan hendaklah diisi dengan amalan habluminallah seperti solat, munajat dan taubat. Jangan selesaikan masalah dengan satu masalah lain.

Pernah satu ketika seorang Sahabat memberitahu Rasulullah s.a.w. akan rasa sayangnya kepada seorang sahabatnya yang lain. Rasulullah pun bertanya semula, apakah dia telah memberitahu sahabatnya itu tentang rasa kasihnya. Sahabat itu menjawab bahawa dia belum berbuat demikian. Lantas, Rasulullah pun berkata, “Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu mengasihinya.”

Jika anda menyayangi seseorang, nyatakanlah. Dalam rumah tangga, seorang suami harus menyatakan kasih sayang kepada isterinya. Begitulah sebaliknya. Tetapi saya kurang setuju jika perkataan “sayang” itu diluahkan berulang-ulang. Pernah saya terdengar seorang suami memarahi isterinya dengan perkataan sayang. “Yang, dah berapa kali saya bagi tahu jangan buat macam ni. Kenapa awak degil lagi?” Begitulah herdik sisuami sambil menjegilkan mata dan meninggikan suara. Bagaimana? Apakah panggilan sayang sebegitu masih romantik lagi?

Kasih sayang ini boleh dinyatakan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian keadaan dan masa. Pertama, secara tindakan, kedua secara lisan. Sayang yang dilahirkan dalam bentuk tindakan itu lebih besar impaknya berbanding secara lisan. Jangan menanam tebu di mulut tetapi menyembunyikan racun di hati. Buktikan sayang, dengan perbuatan kerana cinta itu perbuatan (love is a verb) bukan perkataan. Namun, alangkah indahnya jika perbuatan yang baik diiringi juga dengan perkataan yang baik.

Sayangnya, ramai suami atau isteri telah melakukan kesilapan. Kesilapan mereka bukannya tidak menyayangi pasangan, tetapi tidak ataupun semakin kurang meluahkan rasa sayang itu dalam bentuk perbuatan ataupun kata-kata. Kita tersilap kalau beranggapan sekali bercinta, tetap cinta selamanya. Yang sebenarnya, cinta yang kekal abadi ialah cinta yang dibuat berkali-kali. Berkali-kali bercinta, baru cinta itu abadi. Bukankah bijak pandai mengingatkan bahawa satu kebaikan (termasuk cinta) perlu dimulakan berkali-kali.

Benar, setelah usia perkahwinan meningkat, kalimat-kalimat cinta seperti “I love you” atau “Saya sayangkan awak” sudah semakin kurang kedengaran. Ramai beranggapan, mereka sudah terlalu tua untuk mengucapkan kalimat-kalimat yang lazimnya diucapkan sewaktu mula-mula berkahwin dahulu. Tetapi apakah kita sudah terlalu tua untuk menyatakan cinta dalam bentuk tindakan dan percakapan?

Sebenarnya, banyak perkataan yang boleh masih boleh dipilih untuk menggantikan kalimat-kalimat romantik yang susah dirasakan malu dan segan untuk diucapkan sewaktu usia tua. Mungkin perkataan itu biasa-biasa sahaja tetapi intonasi dan bahasa badan yang mengiringinya mampu mencipta kesan yang luar biasa.
Kata-kata baik wajar diiringi oleh belaian fizikal. Katakanlah isteri kita membuat sesuatu perkara yang baik, maka kita pun membelai rambutnya atau menepuk bahunya sebagai tanda sokongan dan penghargaan. Ini adalah salah satu bentuk sentuhan fizikal yang sering diabaikan terutamanya oleh pasangan suami isteri yang berusia 40 tahun ke atas. Sedangkan, semakin bertambah usia perkahwinan, sewajarnya semakin banyak belaian fizikal yang tidak dibauri oleh keinginan seks.

Selain daripada itu, kasih sayang juga mesti dibuktikan dalam bentuk tindakan pembelaan. Katakanlah isteri menghadapi krisis dengan keluarganya atau kawan-kawan di tempat kerja, maka kita sebagai suami perlu membelanya. Membela di sini bukan bermaksud membenarkan sahaja sikap isteri walaupun kita tahu dia bersalah. Tetapi membela dalam ertikata bersimpati dan empati terhadap krisis yang mereka alami.
Juga dengan memberi jalan penyelesaian ataupun panduan-panduan untuk mereka bertindak dalam menyelesaikan sebarang persengketaan peribadi tersebut.

Jangan sekali-kali kita menempelak, menyindir atau membiarkan mereka keseorangan.

Buktikan, kita sentiasa di sisi isteri ketika dia menghadapi “serangan” orang lain.

Walaupun ada kalanya (menerusi penilaian kita) dia yang bersalah… jangan dipersalahkan, cuma perbetulkan sahaja!

Tak Mengapa

Sunday, January 24, 2010

Bila Cinta Tak Lagi Untukku...Bila Hati Tak Lagi Padaku...Aku Kan Pergi Meski Hati Tak Akan Rela

Semula Ku Tak Yakin
Kau Lakukan Ini Padaku
Meski Dihati Merasa
Kau Berubah Saat Kau Mengenal Dia

Bila Cinta Tak Lagi Untukku
Bila Hati Tak Lagi Padaku
Mengapa Harus Dia Yang Merebut Dirimu

Bila Aku Tak Baik Untukmu
Dan Bila Dia Bahagia Dirimu
Aku Kan Pergi Meski Hati Tak Akan Rela

Terkadang Ku Menyesal
Mengapa Ku Kenalkan Dia Padamu

Terkadang Ku Menyesal
Mengapa Ku Kenalkan Dia Padamu

~ Ressa Herlambang, Menyesal

Friday, January 22, 2010

Monday, January 18, 2010

Doa Untuk Kekasih

Dengan nama Allah
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang…

Ya Allah…
Seandainya telah Engkau catatkan…
Dia milikku, tercipta buatku…
Satukanlah hatinya dengan hatiku…
Titipkanlah kebahagiaan antara kami…
Agar kemesraan itu abadi…

Ya Allah…
Ya Tuhanku yang Maha Mengasihi
Seiringkanlah kami melayari hidup ini…
Ke tepian yang sejahtera dan abadi…
Menyedari dan Merasai dengan sebenarnya kepentingan Allah SWT di dalam kehidupan
Jiwa Positif dan Hidup Bertuhan
Maka jodohkanlah kami…

Tetapi ya Allah…
Seandainya telah engkau takdirkan…
Dia bukan milikku…
Bawalah dia jauh dari pandangan ku…
Luputkanlah dia dari ingatanku
Dan peliharalah aku dari kekecewaan…

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti…
Berikanlah aku kekuatan…
Menolak bayangannya jauh ke dada langit…
Hilang bersama senja yang merah…
Agarku sentiasa tenang…
Walaupun tanpa bersama dengannya…

Ya Allah yang tercinta…
Pasrahkanlah aku dengan takdirMu…
Sesungguhnya apa yang telah engkau takdirkan…
Adalah yang terbaik buatku…
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui…
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini…

Ya Allah…
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku…
Di dunia dan di akhirat…
Dengarlah rintihan dari hamba-Mu yang dhaif ini…
Janganlah engkau biarkan aku bersendirian…
Di dunia ini mahupun di akhirat…
Menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran…
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman…
Agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup…
Ke jalan yang Engkau redhai…
Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh dan solehah…

Ya Allah…
Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat…
Dan peliharalah kami dari azab api neraka…
Amin… Amin… Amin…Ya rabbal ‘aalamiin…

Kahwin, cerai ikut peraturan

KUALA LUMPUR: “Perkahwinan seharusnya berteraskan kebahagiaan dan ketenangan, jika tidak mampu meneruskan ikatan itu, ia boleh dibubarkan bagaimanapun perlu mengikut saluran yang betul,” kata Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia, Dr Robiah Kulop Hamzah.
Robiah berkata, setiap perkahwinan mempunyai matlamat, namun ada kalanya pasangan suami isteri tidak mendapat apa yang diimpikan terutama membabitkan kasih sayang dan harta.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam perkahwinan wanita berkenaan dengan suaminya, namun mungkin dia tidak mendapat apa yang diinginkan dan kerana itu dia memilih untuk memulakan hidup baru bersama lelaki lain.

“Bagaimanapun, dia melakukan kesilapan kerana bertindak terburu-buru sedangkan dia berhak meminta cerai sekiranya menganggap perkahwinannya tidak boleh diteruskan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, acara merisik, meminang dan bertunang mungkin dianggap sebagai budaya Melayu, namun ia sebenarnya berteraskan agama dan bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
“Budaya tidak akan berdiri tanpa agama dan langkah yang diambil sebelum meneruskan perkahwinan juga bukan sekadar mengikut resam Melayu sebaliknya dituntut dalam agama.

“Jika menganggap budaya tidak penting dan boleh diubah sesuka hati, maka kerana itulah jadi perkara mengelirukan dan ada ketikanya memalukan,” katanya.

Robiah berkata, wanita itu tidak boleh dipersalahkan kerana dia mungkin mengalami masalah psikologi sehingga tidak mahu berkongsi perkara penting dengan keluarganya.

“Sepatutnya hal berkaitan perkahwinan perlu diketahui keluarga, namun mungkin wanita itu mempunyai alasan tersendiri mengapa dia tidak mahu berkongsi hasratnya dengan keluarga.

“Apa yang paling penting adalah didikan agama dan penerapan kasih sayang sejak kecil kerana ia akan melahirkan rasa tanggungjawab bahawa ibu bapa dan keluarga perlu tahu dan masuk campur dalam hal membabitkan masa depan,” katanya.

Menurut Robiah, rasa akrab dan sayang kepada keluarga perlu disemai sejak kecil supaya lahirnya individu yang tahu menghormati dan akan dihormati.

“Ada kalanya kita suka menghukum orang yang buat salah sebagai seorang yang jahat dan suka melakukan kesilapan sedangkan ibu bapa seharusnya memberi didikan yang rapi supaya anak-anak tahu apa yang patut dan tak boleh dilakukan.
“Jangan menghukum orang lain sedangkan kita tidak tahu apa yang tersemat dalam hati wanita terbabit dan pengalaman pahit yang dilalui,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa dan keluarga wanita itu tidak seharusnya malu dengan apa yang berlaku sebaliknya mengambil sikap terbuka dan mengadakan rundingan dengan cara baik.

~ Sumber : http://www.hmetro.com.my, Isnin 18 Januari 2010

Anak harapan koma tujuh bulan

Sayu dan simpati aku rasakan pabila membaca berita ni... Walaupun aku brutal...sempoi..slumber...tapi hati aku luluh bab jiwa dan perasaan...Huh...sungguh besar dugaan dan ujian ...semoga dikuatkan sabar dan tabah pada keluarga ini terutama saudara Mohd Iskandar...Allah Maha Adil, Maha Penyayang lagi Maha Pengasih...Pasti ada sesuatu yang lebih manis, yang lebih nikmat dijanjikan olehNya di atas kesusahan kamu semua ini...InsyaAllah!!!



MASJID TANAH: Impian seorang pelajar mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi membantu keluarga, hanya tinggal harapan apabila mangsa terlantar koma sejak tujuh bulan lalu, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Mei tahun lalu.
KOMA...Mohd Iskandar terlantar koma sejak tujuh bulan lalu selepas terbabit dalam kemalangan.
KOMA...Mohd Iskandar terlantar koma sejak tujuh bulan lalu selepas terbabit dalam kemalangan.
Bapa mangsa, Muhamad Ab Alah, 57, berkata sebelum kejadian anaknya bekas pelajar Kolej Komuniti Alor Gajah pernah memaklumkan hasrat mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang teknologi maklumat dan multimedia.

Menurutnya, dia juga terkilan kerana cita-cita dipendam anaknya bakal tidak kesampaian berikutan keadaan dirinya masih koma sekali gus melenyapkan segala harapan tinggi bergelar insan berjaya.

“Apa yang diharapkan selama ini sudah tertulis sebegini. Harapan dan keinginan Iskandar nampaknya tersekat disebabkan anak lelaki sulung dalam keluarga itu berhasrat membantu keluarga agar dapat keluar dari kepayahan hidup “Tetapi, keadaan dirinya berubah apabila koma dan terlantar kaku di atas katil dengan hanya bergantung hidup pada tiub yang terpasang untuk memudahkannya makan dan membuang air besar,” katanya.

Pesara Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) itu, berkata anak ketiga daripada tujuh beradik menjadi harapan keluarga kerana rajin bekerja, selain mempunyai minat dalam bidang teknologi maklumat.
Namun, katanya, dia berasa kecewa dan melahirkan rasa kurang senang kepada kakitangan klinik kesihatan kerana memberi layanan buruk ketika rawatan pesakit kritikal untuk anaknya, apatah lagi keluarganya tiada kemahiran dalam menjaga pesakit yang terlantar di rumah.

“Saya pernah membuat panggilan kecemasan ke klinik kesihatan berdekatan meminta bantuan apabila tiub hidung ke perut dan paip saluran kencing anak tercabut, namun jawapan diterima menyedihkan.

“Mereka mendakwa pembantu perubatan tinggal seorang dan tiada masa, menyebabkan kami nekad memperbetulkan masalah itu sendiri dan Alhamdulillah, nasib baik berjaya tanpa sebarang kejadian buruk,” katanya.

Katanya, dalam tempoh dua hari, dia membuat panggilan kecemasan lain bagi meminta bantuan berikutan tiub hidung ke perut anaknya dipenuhi darah, tetapi tidak dilayan.

“Hendak dijadikan cerita, ketika Hospital Melaka mengarahkan anak dibawa semula ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk membuat rawatan susulan di pertengahan jalan tanpa disedari rupa-rupanya ambulans itu tidak dilengkapi peralatan kecemasan menyebabkan anak semakin kritikal dan terpaksa dimasukkan semula ke ICU sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, ibu Iskandar, Marsita Shaari, 53, meminta pihak berkenaan menjalankan tugas dengan telus agar tidak alpa menunaikan tanggungjawab masing-masing kerana ia membabitkan nyawa.

~ Sumber : http://www.hmetro.com.my (Harian Metro), Isnin 18 Januari 2010

Sunday, January 17, 2010

Would I Lie...?



- Would I Lie, Charles and Eddie

Saturday, January 16, 2010

Iri Hati Mencari Kebaikan Tak Salah

DI sekeliling kita ada yang hidup dalam kesusahan dan kesenangan. Malah, sesetengahnya mempunyai kemewahan yang sukar ditandingi. Apa perasaan kita apabila memandang kepada kehidupan hartawan itu?

Umumnya apabila mata melihat kenikmatan yang diperoleh orang lain, akan tumbuh suatu perasaan di dalam diri, dinamakan iri hati. Sememangnya sesuatu yang bersifat semula jadi dengan nikmat itu akan menimbulkan iri hati.


Cuma apabila iri hati itu akan melahirkan perasaan benci kepada nikmat terbabit dan suka pula ia hilang daripada tangan orang, ia dinamakan sebagai hasad.

Jika iri hati itu melahirkan keinginan mendapatkan nikmat serupa tanpa benci pada nikmat yang ada pada orang, malah tidak berharap nikmat itu hilang daripadanya, ia tidak dinamakan hasad, sebaliknya disifatkan al-ghibtah atau al-munafasah.

Apa itu hasad? Hasad boleh ditakrifkan sebagai rasa tidak senang atau sakit hati dan benci ke atas nikmat yang ada pada orang lain tetapi senang hati atau gembira dan suka nikmat itu hilang daripada tangan orang terbabit.

Ringkasnya, ia merujuk perasaan suka dan senang hati apabila orang lain ditimpa kesusahan dan bencana, tetapi menaruh kebencian apabila orang menerima kesenangan.

Daripada pengertian yang umum itu, sarjana membuat pembahagian sifat hati itu kepada empat peringkat:

# Benci nikmat pada orang lain dan suka supaya nikmat itu hilang daripada milik orang, sekalipun nikmat itu tidak akan berpindah ke tangannya. Cuma yang penting padanya ialah asalkan nikmat itu hilang daripada tangan orang terbabit.

# Benci kerana tiada nikmat itu di tangannya, bukan benci yang ada pada tangan orang lain dan sukakan nikmat itu ada pada tangannya, bukan sukakan nikmat itu hilang daripada tangan orang.

# Tidak suka jenis nikmat itu sendiri untuk dirinya tetapi suka nikmat yang seumpama nikmat terbabit. Apabila gagal mendapatkan yang seumpamanya, timbul rasa suka kalau nikmat itu hilang daripada tangan orang yang memilikinya.

Dengan itu akan samalah tarafnya, iaitu sama-sama tidak memiliki nikmat terbabit, sebagaimana kalau berjaya akan sama-sama memilikinya.

# Suka kalau dia memiliki nikmat yang sama dengan nikmat yang dipunyai orang lain. Sekiranya gagal mendapatkannya, dia tidak benci dengan nikmat yang ada pada tangan orang, sebaliknya suka sekiranya nikmat itu kekal dalam miliknya.

Peringkat pertama amat tercela, peringkat kedua adalah tercela, peringkat ketiga ada sudut tercelanya dan ada sudut tidak tercela manakala peringkat keempat dimaafkan. Peringkat keempat ini dinamakan ghibtah atau munafasah.

Munafasah tidak salah dan tidak ditegah kerana ia adalah persaingan. Persaingan yang sihat seperti untuk mendapatkan tempat yang baik di sisi Allah tidak salah.

"Meterainya kasturi dan untuk itulah hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan." (al-Mutaffifin:26)

Rasulullah s.a.w ada menegaskan, maksudnya: "Diumpamakan umat ini dengan empat (jenis) orang iaitu:

# Orang yang dikurniakan Allah dengan harta dan ilmu, lalu dia berusaha dengan ilmunya untuk hartanya.

# Orang yang dikurniakan Allah dengan ilmu tetapi tidak dikurniakan harta, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku! Kalaulah aku mempunyai seperti harta si polan nescaya akan aku usahakan sama seperti yang diusahakan oleh dia. Orang ini dalam pahalanya adalah sama.

# Orang yang diberikan harta tetapi tidak diberikan ilmu, lalu dia menggunakan hartanya pada maksiat.

# Orang yang tidak diberikan ilmu dan harta, lalu dia berkata: Kalaulah aku mempunyai harta seperti harta si polan itu, nescaya aku akan belanjakan seperti mana yang dibelanjakan pada perkara yang maksiat. Orang ini pada dosanya adalah sama.

Justeru, tidaklah salah jiwa kita berasa iri hati atas nikmat orang lain dan kita berasa ingin mempunyai nikmat yang sama sepertinya tanpa berasa suka jika nikmat itu hilang daripadanya dan tidak benci jika ia kekal di tangannya.

Bagi nikmat berbentuk keagamaan yang wajib seperti nikmat iman, solat, zakat dan puasa, berlumba-lumba ke atas nikmat terbabit wajib hukumnya, iaitu hatinya hendaklah berasa suka untuk mencapai nikmat seumpamanya.

Ini kerana jika tidak sukakan yang demikian, bererti dia rela dengan maksiat dan ini adalah haram.

Demikian juga jika nikmat itu berbentuk amalan kelebihan (fadhail) yang sangat digalakkan hukumnya adalah sunat dan jika nikmat itu yang haruskan yang dipergunakan secara harus, hukumnya adalah harus.

Akidah, akhlak baik wujudkan kebahagiaan rumah tangga

SEMUA mendambakan rumah yang aman damai ibarat syurga tanpa gangguan dan ketakutan. Segala kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan, suka dan ceria terangkum dalamnya. Hal ini dilukiskan dalam sebuah harapan, ‘Rumahku Syurgaku’.

Syurga tidak disediakan Allah untuk syaitan, tetapi disediakan untuk orang beriman, yang sentiasa menyucikan dirinya dan membersihkan jiwanya dengan taat kepada Allah.

Pada awal penciptaannya, iblis bapa syaitan tinggal dalam syurga. Disebabkan sikap iblis yang sombong dan bongkak, maka Allah melaknat dan menghalaunya dari syurga berdasarkan firman-Nya bermaksud:

“Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barang siapa di antara mereka (manusia) mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahanam dengan kamu semuanya.” (Surah al-A’raaf, ayat 18)

Dalam kitab Buyut laa tadkhuluha asy-syayathin (Rumah yang tidak dimasuki syaitan) karangan ulama Asia Barat, Ahmad As-Sayim, menerangkan ada dua kriteria penyebab rumah tidak akan ditembusi syaitan dan tidak akan dirasuk jin iblis.

1. Kriteria pertama kerana ibadat diamalkan dan aqidah dipegang orang yang berada dalam rumah itu;
2. Kedua, kerana akhlak dan perilaku penghuninya.

Penghuni rumah itu terdiri daripada orang yang sentiasa menjaga akhlak, kelakuan dan perilaku ketika berinteraksi sesama anggota keluarga, rakan taulan serta jiran tetangga.

Ciri-ciri rumah mereka yang menjaga ibadat :

* Penghuni rumah yang sentiasa menyucikan dirinya dan sentiasa ingat kepada Allah, mereka menjaga kesucian badan, membersihkan diri selepas buang air besar atau kecil dengan cara yang betul, tidak membuang air besar di dalam air.

* Kebersihan diri menjadi budaya dan sebagai ibadat dalam bentuk mandi kerana hadas besar seperti mandi junub, haid dan nifas, menggosok gigi dengan siwak, memotong kuku, mencukur bulu, merapikan janggut dan lain-lain.

* Mereka juga menjaga kebersihan batin. Hatinya suci daripada dendam dan hasad dengki. Lidahnya dijaga supaya tidak menyakiti orang lain serta tidak menuturkan kata kotor dan tidak berfaedah. Fikiran dan lidahnya hanya mengingat dan menyebut Allah sepanjang waktu.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyintai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri?” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

* Rumah dipenuhi alunan bacaan al-Quran dan zikrullah. Orang yang sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah perumpamaan mereka seperti digambarkan dalam firman Allah bermaksud:

“Mereka itu ialah : Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, serta menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakan orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (Surah at-Taubah, ayat 112)

* Rumah yang penghuninya sentiasa bersikap benar, jujur dan memenuhi janji.

* Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga punca pemakanan dan hanya mengambil yang halal saja. Makanan halal dari segi penyediaannya menurut syariat, tidak diambil daripada harta anak yatim, bukan hasil rampasan, penganiayaan, penipuan, bukan hasil rasuah dan bukan hasil riba.

* Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan tali silaturahim. Rumah yang dipenuhi kecintaan, kasih sayang, kelembutan, tolak ansur, sabar adalah orang yang menjaga silaturahim. Menghubungkan silaturahim wajib mendapat pahala dan memutuskannya haram dan berdosa.

* Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga adab dan berbakti kepada kedua orang tuanya. Mereka menyayangi kedua ibu bapanya, tidak derhaka kepada keduanya, menghormati keduanya, mendengar nasihat mereka dan bermesyuarat dalam sebarang keputusan yang akan diambil. Apabila ibu bapa sudah tua, berikan perhatian terhadap diri dan emosi, kesihatan, kewangan dan apa juga keperluan mereka.

* Rumah yang penghuninya terdiri daripada pasangan yang salih dan salihah, saling faham memahami, bekerjasama serta bertolak ansur.

* Rumah yang penghuninya melaksanakan hak dan kewajipannya. Suami dan isteri melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak masing masing. Bukan suami curang dan isteri derhaka.

- Oleh Endok Sempo Mohd Tahir, penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Sekufu suami isteri - Penting dalam perkahwinan

`Sama cantik sama padan'. Itulah ungkapan yang sering diucapkan orang ramai
untuk memuji kecantikan dan ketampanan sepasang pengantin baru.

Para undangan yang datang ke majlis perkahwinan, sudah tentu mengagumi dan senang melihat pasangan suami isteri yang `bagaikan pinang dibelah dua' dari sudut paras rupanya, berbanding pasangan yang tidak sepadan (sekadar mengambil contoh yang paling mudah).

Perasaan sedemikian jelas menunjukkan naluri kita sebagai manusia yang sukakan keindahan, dan menolak sesuatu yang tidak sepadan dan setara.

Apatah lagi perkahwinan merupakan ikatan perjanjian dua orang insan untuk berkongsi segalanya dalam menempuh kehidupan seterusnya. Oleh kerana itu sebaik-baiknya kedua-duanya setaraf dalam banyak hal supaya rumah tangga yang akan diharungi lebih mudah dilayari.

Ini kerana perbezaan yang terlalu banyak dan ketara hanya akan menyusahkan kehidupan yang akan dibina.

Satu pihak akan merasa rendah diri kerana kelemahan dan kekurangan yang ada padanya. Sementara di pihak yang lain pula akan timbul rasa sombong dan ego dengan kelebihan yang dimilikinya.

Sekufu, setaraf atau sepadan merupakan istilah yang digunakan oleh para ulamak dalam bab perkahwinan. Ia menunjukkan kesepadanan antara suami isteri, yang telah diterima oleh majoriti ulamak sebagai pra syarat dalam pernikahan.

Bahkan mereka berpendapat, jika tiada sekufu antara kedua-duanya, maka isteri atau walinya berhak menuntut fasakh selepas perkahwinan.

Ia berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: ``Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya.''

Ketua Jabatan Siasah Syar`iyyah, Akademi pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dalam hal ini menjelaskan, dari sudut hukum syara, ulamak telah memberikan pelbagai aspek yang perlu dilihat dari sudut kufu bagi mewujudkan perkahwinan yang bahagia.

``Menurut Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan Syafie, persamaan suami dan isteri perlu dilihat dari aspek keturunan, keagamaan, pekerjaan, fizikal (yang sempurna), keilmuan dan harta.

``Pandangan majoriti ulamak ini adalah berasaskan dalil-dalil al-Quran dan sunah serta kemaslahatan perkahwinan itu sendiri, yang bertujuan melahirkan kasih sayang dan kesejahteraan di dunia dan akhirat,'' ujar beliau ketika membentangkan kertas kerjanya, Wanita Berjaya: Kedudukan Mereka Di sisi Suami Dan Kepentingan Kufu Dalam Perkahwinan di Seminar Memahami Kedudukan Wanita Berjaya dari Perspektif Islam, yang dihadiri lebih kurang 260 peserta pada 5-6 Ogos 2003.

Sekufu atau sepadan yang dimaksudkan dalam perkahwinan ini dilihat dari empat sudut:

1. Sekufu dalam agama

Ia mengambil kira peringatan Allah s.w.t. dalam surah as-Sajadah ayat 18 yang bermaksud: ``Adakah orang-orang yang beriman itu sama seperti orang-orang yang fasiq. Mereka itu tidak sama.''

Firman-Nya lagi ``Lelaki yang penzina tidak berkahwin kecuali dengan wanita penzina.'' (An-Nur : 3).

Daripada dalil-dalil yang disebutkan, menunjukkan bahawa jaminan kebahagiaan dan kesecocokan antara pasangan suami isteri tidak cukup hanya dengan persamaan agama sahaja, iaitu agama Islam.

Bahkan kefahaman dan pegangan terhadap agamanya itu sangat penting. Seperti kata Ibnu Taimiyyah ``Lelaki yang selalu melakukan dosa tidak sewajarnya dijadikan suami.''

Hasil daripada penyelidikan tentang punca perceraian di Wilayah Persekutuan dan Kelantan, menyebut di antaranya ialah kerana kefahaman agama yang rendah.

Hal ini dapat dirumuskan melalui hasil kajian yang ditulis oleh Shamsiah bin Mustaffa (1996) mengenai Perceraian di kalangan orang kaya dan kenamaan di Mahkamah Syariah, Wilayah Persekutuan yang merujuk kepada tiga kes utama.

Manakala dalam kajian yang dilakukan oleh Saudah Abdullah (2001/2002) mengenai Faktor Perceraian Umat Islam Masa Kini: Kajian di Kubang Krian, Kelantan, pula mendapati bahawa punca perceraian disebabkan oleh sikap suami yang mengabaikan tanggungjawab agama, tidak memberi nafkah zahir dan batin, dan disebabkan oleh faktor kaki judi dan penagih dadah.

2. Sekufu dalam ilmu

Dalam aspek perkahwinan, ketiadaan sekufu dalam ilmu boleh mendorong perselisihan faham dan percanggahan idea dan gaya berfikir, seterusnya gaya hidup yang boleh menggoncang kehidupan berumahtangga.

Perbezaan cara berfikir yang di antaranya disebabkan faktor ilmu ini juga telah dikenal pasti sebagai faktor perceraian dalam kajian-kajian yang telah dinyatakan di atas.

Firman Allah yang berikut menunjukkan kedudukan orang berilmu adalah lebih baik daripada orang yang tidak berilmu, ``Allah telah mengangkat darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat.'' (Al-Mujadalah : 11).

3. Sekufu dalam pekerjaan

Firman Allah s.w.t. ``Dan Allah melebihkan sebahagian kamu daripada sebahagian yang lain dalam hal rezeki.'' (An-Nahl : 71), dijadikan asas pemikiran sebahagian ulamak khususnya Imam Syafie, Hanbali dan Hanafi untuk melihat faktor pekerjaan sebagai di antara aspek yang boleh mewujudkan kufu antara suami dan isteri.

4. Sekufu dalam kekayaan

Dalam meletakkan kekayaan sebagai salah satu aspek penentuan kufu, hanya Mazhab Syafie dan Hanafi yang mengambil kira. Sedangkan ulamak yang lain lebih cenderung untuk tidak menganggapnya sebagai faktor kufu, dengan alasan harta itu boleh ditambah dan boleh pula berkurangan (dalam tempoh perkahwinan).

Menurut Dr. Sharifah lagi, selain aspek-aspek di atas, aspek-aspek lain yang juga menjadi perbincangan ulamak ialah aspek umur, hubungan kekeluargaan (daripada nasab yang dekat) dan gaya hidup.

``Walaupun begitu ada di kalangan segelintir ulamak yang tidak bersetuju menjadikan kufu sebagai pra syarat yang perlu diambil kira dalam perkahwinan. Ia berasaskan kepada dalihan bahawa semua umat Islam adalah setaraf dan bersaudara. Dan ketinggian mereka berbanding yang lain itu ditentukan oleh Allah berasaskan ketakwaan,'' jelas beliau dalam seminar dua hari tersebut yang dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Dan keluarga.

Perlu diingatkan bahawa asas pemilihan suami dan isteri berasaskan kufu yang dibahaskan oleh para ulamak, bukanlah menjurus kepada memandang seseorang itu sebagai lebih tinggi atau rendah, lebih baik atau kurang baik daripada yang lain.

Sebaliknya, tujuannya adalah untuk menambah eratkan lagi kasih sayang dan persefahaman melalui kufu dan mengelakkan pelbagai bentuk perselisihan dan persengketaan dalam perkahwinan."

Oleh FARIDAH MOHAMED SANI

Memang ALLAH sengaja....

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat menjadi penilai yg baik.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yg sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK,KHAS UNTUK DIRI KITA.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa ALLAH MAHA PEMURAH & PENYAYANG kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah yg hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan...

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yg tak semua orang berpeluang untuk mengalaminya.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita jadi MANUSIA YG HEBAT JIWANYA.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita lebih faham bahawa CINTA YG TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YG TAK SELAMANYA KEKAL.

Wahai insan yg kecewa, menderita dan sengsara kerana cinta, fahamilah bahawa kehidupan kita makin sampai ke penghujungnya. Hari esokpun kita sendiri tak pasti samada menjadi milik kita. Gapailah keredhaan ALLAH dengan melaksanakan suruhan-NYA, dan meninggalkan laranganNYA. .

PERCAYALAH sesungguhnya ALLAH malu untuk menolak permintaan hamba-NYA yg menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan HANYA kepada-NYA.

Bahagia Terletak Pada Sifat Reda

BAHAGIA belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, atau duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya.

Pakar motivasi menyatakan: "Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda". Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: "Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga adalah kebaikan." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Semua baik, baik dan baik. Apa yang Allah pilih untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas'ud apabila ditanya: "Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?" Beliau menjawab: "Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?"

Orang banyak mengatakan: "Bahagia itu adalah kepuasan hati." Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa dengan sempurna. Selami dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat reda.

Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang 'sesuai' untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.

Sebagai manusia biasa ada kalanya kita "tidak terima" dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya "terkejut" di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Allah pun reda ke atas diri mereka dan mereka pun reda dengan pemberian-Nya." (Surah al-Bayyinah, ayat 8)

Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu, iaitu pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat yang paling berharga.

Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita reda sebab sayang.

Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang di amuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat reda.

Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang 'diam' dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.

Tanda reda ada tiga. Pertama adalah kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah seranah dan maki hamun rasa tak puas hati.

Kedua, ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri.

Ketiga, ikhtiar jangan berhenti. Reda bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi reda adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mustika yang bernama reda kepada Allah.

Zalim-Menzalimi Tanpa Disedari

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Allah tidak menyukai percakapan (pembicaraan) buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." 
surah An-Nisa', 148

Diambil daripada buku Seni bacakap-cakap dan berbual-bual

UCAPAN YANG DITEGAH BAGI ORANG ISLAM

1. Penjagaan Lidah

Setiap mukallaf (setiap orang Islam yang baligh dan berakal) wajib menjaga lidahnya dari semua perkataan yang tidak elok/tidak baik/tidak berfaedah.

Jika sama baiknya antara bercakap dan tidak bercakap, maka disunatkan memilih sikap berdiam, sebab percakapan yang asalnya mubah (harus atau dibolehkan) kadangkala terbabas menjadi haram dan makruh. Bahkan arah percakapan seperti itu lebih sering terjadi, padahal keselamatan lisan harus diutamakan.
(Sumber Kitab Al-Azkar, karya Imam Nawawi)

2. Abu Musa al-Asy'ari berkata,"Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: 'Wahai Rasulullah, orang Islam manakah yang paling utama?' Baginda menjawab:'Orang yang tidak pernah menganggu orang Islam lainnya, sama ada dengan lisan ataupun dengan tangan (tindakannya)."
(Riwayat Bukhari)

3. Rasullullah saw bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam."
(Riwayat Bukhari)

4. Rasullulah saw bersabda: "Sesiapa yang menjamin untukku lidahnya (ucapannya) dan kemaluannya (tidak berzina) maka aku akan menjaminnya masuk syurga."
(Riwayat Bukhari)

5. Rasululah saw bersabda:"Yang termasuk tanda kebagusan Islam seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermakna."
(Riwayat Tirmizi)

6. Dilarang banyak berbicara, kerana Rasulullah saw bersabda: "Janganlah kamu banyak berbicara tanpa disertai zikir kepada Allah kerana kebanyakan berbicara tanpa disertai zikir kepada Allah itu dapat mengeraskan hati. Dan sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah ialah orang yang keras hatinya."
(Riwayat Tirmizi)

7. Dilarang mengeraskan pembicaraan yang buruk atau kotor. Allah berfirman di dalam surah An-Nisa', 148 yang bermaksud

"Allah tidak menyukai percakapan (pembicaraan) buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." surah An-Nisa', 148

Maksudnya: bahawa Allah tidak menyukai pembicaraan dan ucapan yang buruk, kotor dan menyakitkan hati, kecuali bagi orang yang dianiaya atau dizalimi; dia boleh dengan lantang mendoakan buruk atau mengutuk orang yang menzaliminya, dan boleh menunjukkan segi buruk perbuatan orang yang berbuat zalim.

Rasulullah saw bersabda:" Seburuk buruk tempat manusia di sisi Allah pada hati kiamat ialah manusia yang ditinggalkan seseorang disebabkan takut akan perlakuan jahatnya."(Riwayat Tirmizi)

8. Rasulullah bersabda: " bukanlah manusia dimasukkan ke api neraka itu disebabkan oleh wajah atau hidung mereka, melainkan kerana lidah (ucapan) mereka."
(Riwayat Tirmizi)

9. Allah mengharamkan perbuatan ghibah iaitu menyebut nyebut keburukan dan aib kawan. Allah swt telah berfirman, yangbermaksud:

"Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain."
(surah Al Hujurat:12)

Rasulullah saw bersabda: " Sesungguhnya yang termasuk riba paling jahat ialah menghilangkan kehormatan seorang muslim tanpa hak."
(Riwayat Abu Dawud)

10. Rasulullah saw bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu domba. "
(Riwayat Bukhari)

Yang dimaksudkan namimah (mengadu domba) ialah menyampaikan pembicaraan seseorang kepada orang lain dengan tujuan merosak hubungan kedua duanya.

Beberapa usaha agar tidak terjerumus melakukan perbuatan namimah, antara lain:-

a. tidak membenarkan ucapan pengadu domba kerana dia tergolong dalam golongan orang yang fasik yang harus ditolak ucapannya

b. menasihatinya dan mencela perbuatannya

c. membencinya kerana Allah jika dia tidak mahu menerima nasihat atau masih lagi mengulangi perbuatannya

d. tidak langsung berprasangka buruk kepada seseorang sebab berita yang disebarkan pengadu domba

e. tidak perlu menyelidiki kebenaran apa yang didakwakan oleh pengadu domba kepadanya dan tidak perlu menetapkan kebenarannya

f. tidak menceritakan semula kepada orang lain apa yang disampaikan pengadu domba agar tidak terjadi polemik yang tidak diinginkan

11. Dilarang mencela nasab keturunan. Rasulullah saw bersabda: "Dua perbuatan pada seseorang yang hanya patut dilakukan orang kafir, adalah mencela nasab dan meratapi mayat"
(Riwayat Muslim)

12. Rasulullah saw menekankan pentingnya perkataan yang baik. Baginda bersabda: "takutlah pada api neraka, walaupun dengan cara mensedekahkan sebiji kurma. Jika tidak mendapatnya, maka berbicaralah dengan kata kata yang baik."
(Riwayat Bukhari)

13. Orang Islam memiliki kehormatan dan perlindungan yang agung pada darahnya, harta benda dan kehormatannya. Rasulullah saw bersabda di dalam khutbah hari nahar di Mina sewaktu melakukan haji Wada': "Sesungguhnya darah kamu, harta benda dan kehormatan kamu adalah suci, haram dilanggar seperti sucinya hari ini, bulan ini, dan negerimu ini."
(Riwayat Bukhari)

14. Di antara akhlak yang baik ialah mendengarkan perbicaraan kawannya sampai habis selesai berbicara dan tidak memotong pembicaraannya. Jika tidak, hal itu akan mendatangkan permusuhan dan kebencian, disebabkan kurangnya perhatian kepada orang lain. Dan pada tahap selanjutnya akan muncul pertengkaran, selain itu pendengar tidak mendapat keuntungan sedikit pun dari pembicaraan kawannya itu, yang bererti dia telah mensia siakan waktunya.

15. Dilarang untuk sering bertengkar dan banyak musuhnya. Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya orang yang dibenci Allah ialah yang sering bertengkar dan banyak musuhnya."
(Riwayat Bukhari)

16. Haram bersaksi palsu. Kerana begitu besarnya keharamannya itu sehingga Allah mempersandingkannya dengan syirik. Alah berfirman melalui surah al Hajj:30 yang bermaksud "...maka jauhilah olehmu berhala berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan perkataan dusta."
Allah sangat melarang menyembunyikan persaksian, seperti ditegaskan dalam firmanNya:

"...dan janganlah kamu para saksi menyembunyikan persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

20. Dilarang berbangga diri. Allah swt telah berfirman:
"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang orang yang sombong lagi membanggakan diri"
(surah Luqman:18)

Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Allah memerintahkan aku bersikap rendah hati (tawadhuk) sehingga seseorang tidak bersikap sombong kepada yang lain, dan tidak membanggakan diri di hadapan yang lain."
(Riwayat Muslim)

21. Tidak boleh membenci orang Islam, kerana Rasuluallh saw bersabda:"Janganlah kamu menampakkan kebencian kepada saudaramu sehingga Allah akan mengasihinya dan menimpakan bencana kepada kamu."
(Riwayat Tirmizi)

22. Dilarang memperolok olokkan orang Islam. Allah berfirman di dalam surah Al Hujurat:11 ertinya: "Wahai orang orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok olokkan kaum yang lain(kerana) boleh jadi mereka (yang diolok olokkan) lebih baik dari mereka (yang megolok olokkan) dan jangan pula wanita wanita (mengolok olokkan ) wanita wanta yang lain (kerana) boleh jadi wanita (yang mengolok olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman; dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka ituah orang orang yang zalim."

23. Allah swt melarang memberikan sesuatu disertai cercaan dan seumpamanya, sebagaimana yang disebut dalam firman Allah: "Wahai orang orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)."
(Surah al Baqarah:264)

24. Dilarang keras mendedahkan rahsia hubungan suami isteri kepada pihak yang lain. Rasulullah bersabda: " Sesungguhnya orang yang mendapat tempat paling buruk di sisi Allah pada hari kiamat kelak ialah orang yang melakukan hubungan suami isteri kemudian menyebarkan rahsia hubungan itu kepada orang lain."
(Riwayat Muslim)

25. Dilarang membentak bentak anak yatim dan kaum fakir miskin. Allah swt telah berfirman: "Adapun terhadap anak yatim maka janganlah kamu berlaku sewenang wenangnya. Dan terhadap orang yang meminta minta maka janganlah kamu mengherdiknya."
(Surah Ad Dhuha:9-10)

26. Dilarang bersumpah dengan selain memakai nama Allah, seperti bersumpah dengan kata kata, "Demi Kaabah", 'demi amanat", "demi kedua ibubapa", "demi kemuliaan", demi kehidupan", "demi Rasulullah", dan seumpamanya. Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang bersumpah selain nama Allah, maka dia benar benar menjadi kafir dan musyrik"
(Riwayat Tirmizi)

Baginda bersabda lagi: " Sesiapa yang bersumpah, maka bersumpahlah dengan nama Allah, atau (jika tidak boleh), diamlah. "
(Riwayat Bukhari)

Demikian pula seringnya menggunakan sumpah dalam kegiatan jual beli hendaklah diusahakan untuk dihindari walaupun yang diucapkan itu benar, kerana Rasulullah saw bersabda:" Jauhilah olehmu sering bersumpah sewaktu berjual beli, kerana mesikipun barang itu terjual akan tetapi hilang nilai keberkatannya."

27. Dosa yang paling buruk dan aib yang paling kotor ialah perbuatan dusta, yang jelas jelas dharamkan di dalam Al Quran dan Hadis, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt: "Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya."
(Surah al Isra':36)

Rasulullah saw bersabda: 'Tanda tanda orang munafik ada tiga: Jika berbicara dia bohong, jika berjanji dia mengingkari, dan jika diberi amanat dia mengkhianati."
(Riwayat Bukhari)

Perkataan yang paling dusta ialah mendustai Allah dan RasulNya. Allah swt berfirman:

"Dan pada hari kiamat kamu akan melihat orang orang yang berbuat dusta terhadap Allah, mukanya menjadi hitam. Bukankah dalam neraka Jahannam itu ada tempat bagi orang orang yang menyombongkan diri?”

Dari sikap dusta itu orang akan mudah menghalalkan atau mengharamkan sesuatu tanpa didasari pengetahuan agama. Kerananya Allah swt berfirman:

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut sebut oleh lidahmu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’ untuk mengada ngadakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang orang yang yang mengada ngadakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.”
(Surah an Nahl:116)

Rasulullah saw bersabda:

“ Janganlah kamu berdusta dengan mengatas namakan aku. Sesiapa yang dengan sengaja berdusta atas nama diriku, maka berpuas puaslah diri bertempat di neraka.”

(Riwayat Bukhari)

Oleh kerana itu wajib menyimpan apa sahaja yang diceritakan orang kepadanya dan tidak menceritakan kembali apa saja sahaja yang didengarinya, kalau hal itu tidak dapat dipertanggungjawabkan kebenarannya. Rasulullah saw bersabda:

“cukuplah seseorang dianggap pendusta jika dia menceritakan kembali (kepada orang lain) setiap yang didengarnya”

(Riwayat Muslim)

Wallahua'lam


Oleh itu marilah kita ambil iktibar dari nasihat2 seperti apa yang diperkatakan oleh Luqman Hakim kepada anaknya

Orang-orang yg sentiasa menyediakan dirinya utk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yg insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.

Wassalam....

Belajarlah Untuk Berkata 'Cukup'

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan sesungguhnya aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan rasulNya.
Selawat berserta salam buat Nabi Junjungan Muhammad SAW yang mempunyai keperibadian mulia & diutuskan sebagai ikutan. Juga buat sekalian muslimin & orang-orang yang beramal soleh...

Minggu lepas saya sempat tonton sebahagian dari sebuah filem yang disiarkan di channel Vision Four. Tajuknya Interstate 60. Pelakon utamanya saya takkenal tapi pelakon tambahannya ramai yang top-top. Salah satu babak yang saya ingat sangat, ialah di awal cerita yang membabitkan pelakon terkenal,Micheal J.Fox. Dalam babak tu, Micheal kelihatan seperti seorang businessman yang sibuk.

Ketika itu dia sedang bercakap-cakap di handphonenya di dalam kereta. Dibelakangnya ada seorang lelaki sedang mengayuh basikal sambil menghisap pipe. Tiba-tiba Micheal buka pintu keretanya dan akibatnya lelaki tersebut terlanggar pintu tersebut dan tergolek. Tengah tergocoh-gocoh dan sibuk mintak maaf tuh, handphone Micheal terlepas dari tangan. Sampai je ke atas jalan,datang satu trailer lenyek handphone. Apa lagi, menyumpah seranah la dia.

Yela... Sebagai businessman, tentu handphone tu alat penting untuknya.Dalam keadaan marah, terkeluar dari mulut Micheal (lebih kurang la...)
"Saya harap ini tak pernah terjadi". Rupa-rupanya lelaki yang bawa basikal tadi ada kuasa magik. Dia mampu ulang balik masa dan mereka kembali ke satu keadaan di mana Micheal masih dalam kereta dan lelaki tadi masih menunggang basikalnya.

Bila tiba hampir ke kereta Micheal, dia berhenti. Tiba-tiba Micheal keluar dari kereta. Kali ni lelaki tadi tak melanggar pintunya seperti sebelum ini. Jadi Micheal terus rancak berbual hinggalah tiba-tiba datang trailer dan melanggar Micheal J. Fox. Lelaki tadi, yang berada di belakang kereta Micheal dan memerhatikan segalanya, bekata "Some people just don't know what to wish for" (Sesetengah orang tak tahu apa yang patut diminta).

Apa kesudahan filem ini saya tak tahu sebab saya tak menontonnya hingga selesai. Tapi saya cukup tertarik dengan perkataan lelaki yang berbasikal tu. Sesetengah orang tak tahu apa yang patut mereka minta. Bukankah hampir kita semua begitu? Dalam filem tadi, Micheal mengharapkan kemalangan tu (basikal langgar pintu keretanya) tak berlaku supaya handphonenya terselamat. Tapi tanpa kemalangan itu, dia pula yang maut. Perasan tak?

Ini satu telefilem fiksyen. Rekaan semata. Tapi perkara ni sebenarnya berlaku dalam kehidupan harian kita. Seringkali kita meminta perkara yang macam-macam seolah-olah itulah yang terbaik untuk kita. Persoalannya, tahukah kita apa yang terbaik untuk kita? Kalau kita dilahirkan miskin, kita sering
berdoa untuk menjadi kaya. Hendak mengubah kehidupan, kita kata. Tapi kita pastikah kekayaan itu yang terbaik untuk kita?

Atau kita dilahirkan pendek, atau terlalu tinggi, atau hitam atau berpenyakit. Tentunya kita mengharap-harapkan keajaiban untuk menjadi manusia yang sempurna atau sekurang-kurangnya 'just nice'. Mungkin juga kita terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan orang yang tersayang. Pasti tercalit dalam hati keinginan untuk mengembalikan masa itu supaya kemalangan itu dapat dielakkan dan nyawa orang kesayangan kita juga selamat. Kan?

Persoalannya, adakah apa yang kita perolehi sekarang ini bukan yang terbaik? Adakah Allah itu zalim atau pilih kasih dengan memberi sesetengah orang nikmat manakala setengah lagih azab? Bukankah Allah itu Maha Adil?
Bukankah Allah itu Maha Mengetahui? Bukankah Allah itu Maha Bijaksana? Jika begitu, mengapakah ada sesetengah dari kita yang bernasib malang manakala sesetengah yang lain bernasib baik sepanjang hidup mereka?

Sebenarnya, kita adalah apa yang kita minta (we are what we wish for).Kadangkala tatkala kita berdoa, kita sendiri kurang faham dengan apa yang kita minta. Ada orang berdoa minta selamat. Akan tetapi Allah berikan dia dari sihat jatuh sakit. Dari kaya jatuh miskin. Dari jelita jadi huduh. Bagaimana itu? Itu hanyalah sebagai ujian kesabarannya. Seandainya imannya tetap kuat, insyaAllah dia akan selamat di akhirat kelak.

Selamat juga, bukan? Adakah Allah menolak permintaannya? Tidak! Bahkan Allah meletakkannya ke tempat yang lebih tinggi. Begitu juga dengan keadaan saya baru-baru ini. Hidup dikelilingi hutang lapuk. Pening kepala nak bayar. Interest makin meningkat. Ibu mana yang tak kasihan lihat anaknya susah hati? Satu hari tu ibu saya beritahu saya yang dia tiap-tiap hari berdoa minta saya dapat banyak duit. Dia simpati dengan saya katanya.

Saya katakan kepadanya. Kalau banyak duit, tiap-tiap bulan saya dapat, Alhamdulillah. Saya katakan padanya kalau mahu berdoa untuk saya, berdoalah semoga hutang lapuk saya selesai. Saya beritahunya ketika sebelum Zuhur. Zuhur tu juga dia telah tukar doanya dan Alhamdulillah, petang itu juga saya nampak jalan penyelesaiannya. Doa ibu itu berkat. Sekarang, Alhamdulillah ringan rasanya beban di kepala saya. Maha Suci Allah...

Apabila Allah menentukan sesuatu ke atas kita, percayalah itu adalah yang terbaik. Hanya mata kita yang diseliputi dengan nafsu yang tidak dapat melihat kebaikan yang ada pada sesuatu kejadian. Mengapa sukar bagi kita untuk redha kepada kejadian Allah? 'Grass is always greener on the
other side'. Kan? Kita sentiasa melihat apa yang ada pada orang lain itu lebih baik dari apa yang kita miliki.

Sedang Nabi saw telah menasihatkan agar kita melihat orang yang di bawah. Jangan melihat orang lebih tinggi kerana intu akan membuat kita tidak bersyukur. Dan itulah masalahnya pada diri kita. Kita sentiasa mengejar peluang yang lebih baik. Sentiasa mahukan yang lebih banyak. Saya sendiri mengalami perkara ini. Dan saya percaya ramai yang turut mengalaminya.Siapa yang taknak gaji besar, kan?

Masa saya grad, ekonomi negara benar-benar sedang menjunam. Saya ke hulu ke hilir mencari kerja. Akhirnya saya bekerja sebagai operator di kilang metal stamping. Gaji RM400 sebulan. Tiada OT. Tolak itu, tolak ini, dapatlah RM350. Hm... Cukup? Dah tentu tidak. Ketika itu saya hanya memiliki sebuah motor Yamaha 110SS hadiah ayah sempena dia dapat EPF. Isi minyak dengan makan dah habis. Ketika itu saya fikir, dapat gaji RM750 pun jadilah.

Kemudian saya bekerja sebagai Lab Technician. Betul-betul saya dapat RM750. Cukup? Tak juga. Masa tu saya mula terfikir. Dapat gaji RM1500 pun dah cukup. Allah tunaikan lagi. Bekerja pula di petrochemical plant. Sebagai trainee, dapat la RM1500 sebulan. Ya Allah... tak cukup juga. Sebab masa tu saya dah beli kereta Iswara. Saya fikir, dapat RM2500 cukup la. Tapi bila dapat banyak tu, saya tukar kereta pula. Kesimpulannya tak cukup juga!

Memang takkan cukup. Nafsu itu adalah benda yang paling besar! Sekarang,ketika kawan-kawan saya berlumba masuk syarikat lain yang offer gaji 2 - 3 kali ganda, saya tetap di sini. Kalau ada yang bertanya kenapa saya tak ikut mereka, senang saya katakan. Saya selesa di sini. Kalau solat saya panjang, bos tak pernah marah. Sedang rakan-rakan saya di syarikat baru dibenarkan solat hanya dalam masa 5 minit sahaja.

Kini saya dah pandai mengatakan cukup. Cukuplah sebanyak ini yang Allah beri. Sekiranya diberi lebih, Alhamdulillah. Sekiranya semakin kurang, semoga Allah perkuatkan iman saya menghadapi dugaan mendatang. Yang penting bagi saya, apa yang saya perolehi ini halal dan diberkati. Pesan Nabi saw kepada Saiyidina Ali ra supaya jangan mengira-ngira rezeki untuk hari esok kerana Allah menurunkan rezeki pada tiap-tiap hari. Ini benar-benar terkesan dalam hati saya.

Tapi bukan bererti kita tak boleh mengejar yang lebih baik. Kejarlah dunia seperti akan hidup 1000 tahun lagi. Tapi dunia itu ibarat bayang-bayang. Makin dikejar makin ia lari. Kejarlah akhirat seperti akan mati esok hari. Kerana akhirat itu umpama matahari. Makin kita kejar akhirat (matahari), dunia
(bayang-bayang) akan mengejar kita. Rezeki itu hak Allah maka bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu. Kerana tiada rezeki untuk kita tanpa ada izin dariNya.

Terjadi kepada kenalan saya. Dengan gaji RM1000 sebulan, nak bayar ansuran rumah, nak isi minyak motor yang makin naik, duit lampin anak, duit makan,tinggal pula di JB, memang tak cukup. Sering dia mengeluh. Di tempat kerjanya pula dah lama hadkan OT. Kesian dia. Selalu dia cakap dia nak cari kerja lain. Dah banyak dia apply tapi tak dapat-dapat sebab tiada kelulusan dan umur pun dah makin lanjut.

Atau setidak-tidaknya dapat banyak OT. Saya katakan padanya, besar periuk besarlah kerak. Sekarang dia pakai motor. Kalau gaji besar lagi, mungkin dia pakai kereta. Besar mana pun tetap tak cukup. Tapi... Masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Akhirnya Allah tunaikan permintaannya. Tiba-tiba dia dapat banyak sangat OT. Hari-hari balik rumah sampai tengah malam. Langsung tak rehat. Main dengan anak pun 2 -3 minit masa pagi sebelum ke tempat kerja.

Bila jumpa, dia cakap dah penat. Tak larat nak OT. Saya ketawakan dia. Bukankah ini yang dia minta? Ya, katanya. Tapi dia dah tak larat. Hari Ahad je dia dapat rehat. Bila nak main-main dengan anak? Kesian anaknya. Ke masjid pun hari Jumaat saja sekarang ni... Saya katakan padanya, kita tak boleh dapat segala-galanya. Dia nak duit, Allah bagi duit. Tapi dia hilang kehidupan dan masa dengan anaknya. Itu adalah permintaannya. Bersyukurlah Allah telah menunaikan...

Kalau nak dikongsi, terlalu banyak rasanya apa yang saya lalui. Saya pasti,saudara-saudara semua juga ada lalui perkara yang sama. Di sini, bukan niat saya nak mengajar. Bukan juga nak menunjuk pandai. Saya hanya mengajak saudara-saudara sekalian terutamanya diri saya sendiri untuk berfikir. Apa yang kita buru? Apa yang kita cari? Apa yang kita dapat? Berapa kali pernah kita bersyukur dan berapa kali pernah kita katakan cukup?

Cukup atau tidak apa yang kita ada, bergantung kepada cukup atau tidak kita bersyukur ke hadrat Allah. Juga bergantung cukup atau tidak kita tambat nafsu kita. Yang penting tiap kali selepas solat, berdoalah pohonkan Allah berikan yang terbaik buat kita. Nabi saw pernah memberitahu, orang yang tidak berdoa selepas solat adalah orang yang sombong. Dalam hadith yang lain, Baginda saw berkata orang yang sombong adalah syirik kerana hanya Allah yang layak untuk bersifat sombong. Wallahu'alam...

Ya Allah! Ampunkanlah kami ya Allah. Selama ini kami leka. Selama ini kami lalai dalam mengejar nikmat dunia hingga kami lupa janji nikmat syurga Mu.Cukupkanlah kami dengan apa yang Kau beri. Dan jadikanlah kami insan yang tahu bersyukur. Amin... Ya Rabbal 'Alamin...

Akhir kata, belajarlah untuk berkata cukup.....

Kesatlah Airmatamu Wahai Wanita

Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia - si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami."

Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan. Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis yang sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan aku jua ingin menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.

Menjadi seorang isteri....kepada insan yang disayangi.....idaman setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepadaku.

Baru petang tadi, aku sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati ciri-ciri seorang muslim yang baik. Aku berazam untuk menjadi isteri yang sebaik mungkin kepadanya.

"Assalamualaikum," satu suara menyapa pendengaranku membuatkan aku gugup seketika.

"Waalaikumusalam," jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku lontarkan satu senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku. Dengan perlahan dia melangkah menghampiriku.

"Ain buat apa dalam bilik ni ? Puas abang cari Ain dekat luar tadi. Rupanya kat sini buah hati abang ni bersembunyi. `'

Aku tersenyum mendengar bicaranya. Terasa panas pipiku ini. Inilah kali pertama aku mendengar ucapan `abang' dari bibirnya.

Dan itulah juga pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai `buah hati' nya. Aku sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan ku dongakkan wajahku dan aku memberanikan diri menatap pandangan matanya.

Betapa murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa indahnya senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. Aku tenggelam dalam renungannya, seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini.

Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata. "Ain baru je masuk. Nak mandi. Lagipun dah masuk Maghrib kan ? `' ujarku.

`' Ha'ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita solat Maghrib sama-sama ye ? `'Dia tersenyum lagi. Senyum yang menggugah hati kewanitaanku. Alangkah beruntungnya aku memilikimu, suamiku.

Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku. Dengan penuh kasih, ku salami dan ku cium tangannya, lama.

Aku ingin dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan aku dapat merasai tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut. Dengan perlahan aku menatap wajahnya.

"Abang....." aku terdiam seketika. Terasa segan menyebut kalimah itu di hadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan. Seakan tidak mahu dilepaskan. Erat terasa genggamannya.

"Ya sayang..." Ahhh....bicaranya biarpun satu kalimah, amat menyentuh perasaanku.

"Abang... terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai isteri biarpun banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih perlu banyak tunjuk ajar dari abang. Ain harap abang sudi pandu Ain. Sama-sama kita melangkah hidup baru, menuju keredhaan Allah." Tutur bicaraku ku susun satu persatu.

"Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain sudi terima abang dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga makhluk yang lemah, banyak kekurangan. Abang harap Ain boleh terima abang seadanya. Kita sama-sama lalui hidup baru demi redhaNya."

`'Insya Allah abang....Ain sayangkan abang. `'

`'Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.''

Dengan telekung yang masih tersarung, aku tenggelam dalam pelukan suamiku.

Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan penuh kesyukuran. Suamiku, ternyata seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai wanita aku tidak dapat lari daripada rajuk dan tangis.

Setiap kali aku merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh mesra memujukku, membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar ku sambut kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan.

Bukankah aku ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami? Sedangkan Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk berkhalwat di Gua Hira'.

Lalu, ku cium tangannya, ku pohon ampun dan maaf. Ku hadiahkan senyuman untuknya. Katanya senyumku bila aku lepas menangis, cantik!

Ahhh....dia pandai mengambil hatiku. Aku semakin sayang padanya. Nampaknya hatiku masih belum sepenuhnya terikat dengan Allah. Lantaran itulah aku masih belum mampu menyerahkan seluruh kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami.

`' Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu merasa senang, apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu berpergian, dia menjaga maruahnya dan hartamu .`'

Aku teringat akan potongan hadis itu. Aku ingin merebut gelaran isteri solehah. Aku ingin segala yang menyenangkan buat suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik mungkin agar tidak tercalar hatinya dengan perkataanku. Ku hiaskan wajahku hanya untuk tatapannya semata-mata.

Makan minumnya ku jaga dengan sempurna. Biarpun aku jua sibuk lantaran aku juga berkerjaya. Pernah sekali, aku mengalirkan air mata lantaran aku terlalu penat menguruskan rumah tangga apabila kembali dari kerja. Segalanya perlu aku uruskan. Aku terasa seperti dia tidak memahami kepenatanku sedangkan kami sama-sama memerah keringat mencari rezeki.

Namun, aku teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang menangis kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga.

Aku teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang menyiapkan segala keperluan suaminya. Hatiku menjadi sejuk sendiri.

Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas keranaMu. Aku ingin mengejar redha suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya Allah.

" Ain baik, cantik. Abang sayang Ain.`' Ungkapan itu tidak lekang dari bibirnya. Membuatkan aku terasa benar-benar dihargai. Tidak sia-sia pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi isteri yang solehah.

Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi dengan kehadiran 2 orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka melengkapkan kebahagiaanku.

Kami gembira dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan kepada kami.

Namun, pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan permintaannya yang tidak terduga.

"Ain.....abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain."

"Apa dia abang?" tanyaku kembali. Aku menatap wajahnya dengan penuh kasih. `' Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain. Abang bertuah punya Ain sebagai isteri," bicaranya terhenti setakat itu. Aku tersenyum. Namun benakku dihinggap persoalan. Takkan hanya itu?

"Abang ada masalah ke?" Aku cuba meneka.

"Tidak Ain. Sebenarnya......," bicaranya terhenti lagi. Menambah kehairanan dan mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin diucapkannya.

"Ain......abang.....abang nak minta izin Ain......untuk berkahwin lagi," ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat aku tersentak. Seketika aku kehilangan kata.

"A.....Abang.....nak kahwin lagi?" aku seakan tidak percaya mendengar permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia dengannku. Aku sangka aku telah memberikan seluruh kegembiraan padanya. Aku sangka hatinya telah dipenuhi dengan limpahan kasih sayangku seorang.

Rupanya aku silap. Kasihku masih kurang. Hatinya masih punya ruang untuk insan selain aku.

Tanpa bicara, dia mengangguk. `' Dengan siapa abang ? `' Aku bertanya. Aku tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi....hatiku... hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini.

`' Faizah. Ain kenal dia, kan ? `'

Ya, aku kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku di universiti. Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan aku tahu Faizah juga aktif berjemaah.

Orangnya aku kenali baik budi pekerti, sopan tingkah laku, indah tutur kata dan ayu paras rupa. Tidakku sangka, dalam diam suamiku menaruh hati pada Faizah.

" A....Abang......Apa salah Ain abang?" nada suaraku mula bergetar. Aku cuba menahan air mataku daripada gugur. Aku menatap wajah Abang Harris sedalam-dalamnya. Aku cuba mencari masih adakah cintanya untukku.

"Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang sayang pada Ain."

"Tapi....Faizah. Abang juga sayang pada Faizah....bermakna.....sayang abang tidak sepenuh hati untuk Ain lagi."

"Ain.....sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama abang. Abang rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan abang banyak berurusan dengan Faizah....Abang tak mahu wujud fitnah antara kami.

Lagipun....abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin lebih dari satu. `'

Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek jiwa ragaku. Aku mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya tidak pernah luntur. Kasih sayangku padanya tidak pernah pudar. Aku telah cuba memberikan layanan yang terbaik untuknya. Tapi inikah hadiahnya untukku?

Sesungguhnya aku tidak menolak hukum Tuhan. Aku tahu dia berhak. Namun, alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan itu terbit dari bibirnya. Bibir insan yang amat ku kasihi.

Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan, aku memandang wajah Abang Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya.

Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata semudah itu setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu.

Tidak fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini pengorbananku untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini. Alangkah pedihnya!

Selama seminggu, aku menjadi pendiam apabila bersama dengannya. Bukan aku sengaja tetapi aku tidak mampu membohongi hatiku sendiri. Tugasku sebagai seorang isteri aku laksanakan sebaik mungkin, tapi aku merasakan segalanya tawar. Aku melaksanakannya tidak sepenuh hati.

Oh Tuhan.....ampuni daku. Aku sayang suamiku, tapi aku terluka dengan permintaannya itu.

Apabila bertembung dua kehendak, kehendak mana yang harus dituruti. Kehendak diri sendiri atau kehendak Dia ?

Pastinya kehendak Dia. Apa lagi yang aku ragukan? Pasti ada hikmah Allah yang tersembunyi di sebalik ujian yang Dia turunkan buatku ini. Aku berasa amat serba-salah berada dalam keadaan demikian.

Aku rindukan suasana yang dulu. Riang bergurau senda dengan suamiku. Kini, aku hanya terhibur dengan keletah anak-anak.

Senyumku untuk Abang Harris telah tawar, tidak berperisa. Yang nyata, aku tidak mampu bertentang mata dengannya lagi. Aku benar-benar terluka.

Namun, Abang Harris masih seperti dulu. Tidak jemu dia memelukku setelah pulang dari kerja walau sambutan hambar. Tidak jemu dia mencuri pandang merenung wajahku walau aku selalu melarikan pandangan dari anak matanya.

Tidak jemu ucapan kasihnya untukku. Aku keliru. Benar-benar keliru. Adakah Abang Harris benar-benar tidak berubah sayangnya padaku atau dia hanya sekadar ingin mengambil hatiku untuk membolehkan dia berkahwin lagi?

`Oh Tuhan...berilah aku petunjukMu.' Dalam kegelapan malam, aku bangkit sujud menyembahNya, mohon petunjuk dariNya. Aku mengkoreksi kembali matlamat hidupku.

Untuk apa segala pengorbananku selama ini untuk suamiku ? Untuk mengejar cintanya atau untuk mengejar redha Allah ?

Ya Allah, seandainya ujian ini Engkau timpakan ke atas ku untuk menguji keimananku, aku rela Ya Allah. Aku rela.

Biarlah... Bukan cinta manusia yang ku kejar. Aku hanya mengejar cinta Allah. Cinta manusia hanya pemangkin. Bukankah aku telah berazam, aku inginkan segala yang menyenangkan buat suamiku?

Dengan hati yang tercalar seguris luka, aku mengizinkan Abang Harris berkahwin lagi. Dan, demi untuk mendidik hati ini, aku sendiri yang menyampaikan hasrat Abang Harris itu kepada Faizah.

Suamiku pada mulanya agak terkejut apabila aku menawarkan diri untuk merisik Faizah.

"Ain?......Ain serius?"

"Ya abang. Ain sendiri akan cakap pada Faizah. Ain lakukan ini semua atas kerelaan hati Ain sendiri. Abang jangan risau...Ain jujur terhadap abang. Ain tak akan khianati abang. Ain hanya mahu lihat abang bahagia," ujarku dengan senyuman tawar. Aku masih perlu masa untuk mengubat luka ini. Dan inilah satu caranya. Ibarat menyapu ubat luka. Pedih, tetapi cepat sembuhnya.

Aku mengumpul kekuatan untuk menjemput Faizah datang ke rumahku. Waktu itu, suamiku tiada di rumah dan dia telah memberi keizinan untuk menerima kedatangan Faizah. Faizah dengan segala senang hati menerima undanganku.

Sememangnya aku bukanlah asing baginya. Malah dia juga mesra dengan anak-anakku.

`' Izah......akak jemput Izah ke mari sebab ada hal yang akak nak
cakapkan, `' setelah aku merasakan cukup kuat, aku memulakan bicara.

`' Apa dia, Kak Ain. Cakaplah, `' lembut nada suaranya.

"Abang Harris ada pernah cakap apa-apa pada Faizah?"

"Maksud Kak Ain, Ustaz Harris?" Ada nada kehairanan pada suaranya. Sememangnya kami memanggil rakan satu jemaah dengan panggilan Ustaz dan Uztazah. Aku hanya mengangguk.

" Pernah dia cakap dia sukakan Izah?"

"Sukakan Izah? Isyyy....tak mungkinlah Kak Ain. Izah kenal Ustaz Harris. Dia kan amat sayangkan akak. Takkanlah dia nak sukakan saya pula. Kenapa Kak Ain tanya macam tu? Kak Ain ada dengar cerita dari orang ke ni? `'

`' Tidak Izah. Tiada siapa yang membawa cerita......." Aku terdiam seketika. "Izah, kalau Kak Ain cakap dia sukakan Izah dan nak ambil Izah jadi isterinya, Izah suka?" Dengan amat berat hati, aku tuturkan
kalimah itu.

" Kak Ain!" jelas riak kejutan terpapar di wajahnya. `' Apa yang Kak Ain cakap ni ? Jangan bergurau hal sebegini Kak Ain, `' kata Faizah seakan tidak percaya. Mungkin kerana aku sendiri yang menutur ayat itu. Isteri kepada Muhammad Harris sendiri merisik calon isteri kedua suaminya.

"Tidak Izah. Akak tak bergurau......Izah sudi jadi saudara Kak Ain?" ujarku lagi. Air mataku seolah ingin mengalir tapi tetap aku tahan. Faizah memandang tepat ke wajahku.

"Kak Ain. Soal ini bukan kecil Kak Ain. Kak Ain pastikah yang......Ustaz Harris.....mahu... melamar saya?"

Dari nada suaranya, aku tahu Faizah jelas tidak tahu apa-apa. Faizah gadis yang baik. Aku yakin dia tidak pernah menduga suamiku akan membuat permintaan seperti ini. Lantas, aku menceritakan kepada Faizah akan hasrat suamiku.

Demi untuk memudahkan urusan jemaah, untuk mengelakkan fitnah. Faizah termenung mendengar penjelasanku.

"Kak Ain.....saya tidak tahu bagaimana Kak Ain boleh hadapi semuanya ini dengan tabah. Saya kagum dengan semangat Kak Ain. Saya minta maaf kak. Saya tak tahu ini akan berlaku. Saya tak pernah menyangka saya menjadi punca hati Kak Ain terluka," ujarnya sebak. Matanya ku lihat berkaca-kaca.

"Izah...Kak Ain tahu kamu tak salah. Kak Ain juga tak salahkan Abang
Harris. Mungkin dia fikir ini jalan terbaik. Dan akak tahu, dia berhak dan mampu untuk melaksanakannya. Mungkin ini ujian untuk menguji keimanan Kak Ain."

"Kak...maafkan Izah." Dengan deraian air mata, Faizah meraihku ke dalam elukannya. Aku juga tidak mampu menahan sebak lagi. Air mataku terhambur jua. Hati wanita. Biarpun bukan dia yang menerima kepedihan ini, tetapi tersentuh jua hatinya dengan kelukaan yang ku alami. Memang hanya wanita yang memahami hati wanita yang lain.

"Jadi...Izah setuju?" Soalku apabila tangisan kami telah reda.

`' Kak Ain....ini semua kejutan buat Izah. Izah tak tahu nak cakap. Izah tak mahu lukakan hati Kak Ain."

"Soal Kak Ain....Izah jangan risau, hati Kak Ain...Insya Allah tahulah akak mendidiknya. Yang penting akak mahu Abang Harris bahagia. Dan akak sebenarnya gembira kerana Faizah pilihannya. Bukannya gadis lain yang akak tak tahu hati budinya. Insya Allah Izah. Sepanjang Kak Ain mengenali Abang Harris dan sepanjang akak hidup sebumbung dengannya, dia seorang yang baik, seorang suami yang soleh, penyayang dan penyabar. Selama ini akak gembira dengan dia. Dia seorang calon yang baik buat Izah. `'

"Akak.....Izah terharu dengan kebaikan hati akak. Tapi bagi Izah masa dan Izah perlu tanya ibu bapa Izah dulu."

"Seeloknya begitulah. Kalau Izah setuju, Kak Ain akan cuba cakap pada ibu bapa Izah."

Pertemuan kami petang itu berakhir. Aku berasa puas kerana telah menyampaikan hasrat suamiku. `Ya Allah.....inilah pengorbananku untuk membahagiakan suamiku. Aku lakukan ini hanya semata-mata demi redhaMu.'

Pada mulanya, keluarga Faizah agak keberatan untuk membenarkan Faizah menjadi isteri kedua Abang Harris. Mereka khuatir Faizah akan terabai dan bimbang jika dikata anak gadis mereka merampas suami orang.

Namun, aku yakinkan mereka akan kemampuan suamiku. Alhamdulillah, keluarga Faizah juga adalah keluarga yang menitikberatkan ajaran agama. Akhirnya, majlis pertunangan antara suamiku dan Faizah diadakan jua.

"Ain.....abang minta maaf sayang," ujar suamiku pada suatu hari,
beberapa minggu sebelum tarikh pernikahannya dengan Faizah.

"Kenapa?"

"Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Ain. Tapi....Ain sedikit pun tidak marahkan abang. Ain terima segalanya demi untuk abang. Abang terharu. Abang....malu dengan Ain."

"Abang....syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya. Redha abang pada Ain Insya Allah, menjanjikan redha Allah pada Ain. Itu yang Ain cari abang. Ain sayangkan abang. Ain mahu abang gembira. Ain anggap ini semua ujian Allah abang. `'

`' Ain....Insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Ain ini.
Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Ain. Ain adalah cinta abang selamanya. Abang cintakan Ain."

"Tapi...abang harus ingat. Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat. Abang ada dua amanah yang perlu dijaga. Ain harap abang dapat laksanakan tanggungjawab abang sebaik mungkin."

"Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya." Dengan lembut dia mengucup dahiku. Masih hangat seperti dulu. Aku tahu kasihnya padaku tidak pernah luntur. Aku terasa air jernih yang hangat mula membasahi pipiku. Cukuplah aku tahu, dia masih sayangkan aku seperti dulu walaupun masanya bersamaku nanti akan terbatas.

Pada hari pertama pernikahan mereka, aku menjadi lemah. Tidak bermaya. Aku tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat perit bagiku walau aku telah bersedia untuk menghadapinya.

Malam pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam pertama aku ditinggalkan sendirian menganyam sepi. Aku sungguh sedih. Maha hebat gelora perasaan yang ku alami. Aku tidak mampu lena walau sepicing pun. Hatiku melayang terkenangkan Abang Harris dan Faizah. Pasti mereka berdua bahagia menjadi pengantin baru.

Bahagia melayari kehidupan bersama, sedangkan aku ? Berendam air mata mengubat rasa kesepian ini. Alhamdulillah. Aku punya anak-anak. Merekalah teman
bermainku.

Seminggu selepas itu, barulah Abang Harris pulang ke rumah. Aku memelukknya seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa seperti setahun. Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku rembeskan tanpa dapat ditahan.

`' Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?" ujarnya lembut.

"Ain rindu abang. Rindu sangat. `' Tangisku makin menjadi-jadi. Aku mengeratkan pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan.

`' Abang pun rindu Ain. Abang rindu senyuman Ain. Boleh Ain senyum pada abang ? `' Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat wajahku.

`'Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Ain ? `'Aku menduga keikhlasan bicaranya.

`' Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah kata, sayang abang pada Ain masih seperti dulu. Tidak pernah berubah, malah semakin sayang. Seminggu abang berjauhan dari Ain, tentulah abang rindu. Rindu pada senyuman Ain, suara Ain, masakan Ain, sentuhan Ain. Semuanya itu tiada di tempat lain, hanya pada Ain saja. Senyumlah sayang, untuk abang. `'

Aku mengukir senyum penuh ikhlas. Aku yakin dengan kata-katanya. Aku tahu sayangnya masih utuh buatku.

Kini, genap sebulan Faizah menjadi maduku. Aku melayannya seperti adik sendiri. Hubungan kami yang dulunya baik bertambah mesra. Apa tidaknya, kami berkongsi sesuatu yang amat dekat di hati.

Dan, Faizah, menyedari dirinya adalah orang baru dalam keluarga, sentiasa berlapang dada menerima teguranku. Katanya, aku lebih mengenali Abang Harris dan dia tidak perlu bersusah payah untuk cuba mengorek sendiri apa yang disukai dan apa yang tidak disukai oleh Abang Harris. Aku, sebagai kakak, juga sentiasa berpesan kepada Faizah supaya sentiasa menghormati dan menjaga hati Abang Harris. Aku bersyukur, Faizah tidak pernah mengongkong suamiku. Giliran kami dihormatinya.

Walaupun kini masa untuk aku bersama dengan suamiku terbatas, tetapi aku dapat merasakan kebahagiaan yang semakin bertambah apabila kami bersama. Benarlah, perpisahan sementara menjadikan kami semakin rindu. Waktu bersama, kami manfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah, suamiku tidak pernah mengabaikan aku dan Faizah. Aku tidak merasa kurang daripada kasih sayangnya malah aku merasakan sayangnya padaku bertambah. Kepulangannya kini sentiasa bersama sekurang-kurangnya sekuntum mawar merah. Dia menjadi semakin penyayang, semakin romantik. Aku rasa aku harus berterima kasih pada Faizah kerana kata suamiku, Faizahlah yang selalu mengingatkannya supaya jangan mensia-akan kasih sayangku padanya.

Memang aku tidak dapat menafikan, adakalanya aku digigit rindu apabila dia pulang untuk bersama-sama dengan Faizah. Rindu itu, aku ubati dengan zikrullah. Aku gunakan kesempatan ketiadaannya di rumah dengan menghabiskan masa bersama Kekasih Yang Agung. Aku habiskan masaku dengan mengalunkan ayat-ayatNya sebanyak mungkin. Sedikit demi sedikit kesedihan yang ku alami mula pudar. Ia diganti dengan rasa ketenangan. Aku tenang beribadat kepadaNya. Terasa diriku ini lebih hampir dengan Maha Pencipta.

Soal anak-anak, aku tidak mempunyai masalah kerana sememangnya aku mempunyai pembantu rumah setelah aku melahirkan anak kedua. Cuma, sewaktu mula-mula dulu, mereka kerap juga bertanya kemana abah mereka pergi, tak pulang ke rumah. Aku terangkan secara baik dengan mereka. Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah. Abah perlu temankan Makcik Faizah seperti abah temankan mama. Anak-anakku suka bila mengetahui Faizah juga menjadi `ibu' mereka. Kata mereka, Makcik Izah baik. Mereka suka ada dua ibu. Lebih dari orang lain. Ahhh...anak-anak kecil. Apa yang kita terapkan itulah yang mereka terima. Aku tidak pernah menunjukkan riak kesedihan bila mereka bertanya tentang Faizah. Bagiku Faizah seperti adikku sendiri.

Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku menyayangi seorang perempuan lain selain aku, memang aku rasa cemburu, rasa terluka. Aku cemburu mengingatkan belaian kasihnya itu dilimpahkan kepada orang lain. Aku terluka kerana di hatinya ada orang lain yang menjadi penghuni. Aisyah, isteri Rasulullah jua cemburukan Khadijah, insan yang telah tiada. Inikan pula aku, manusia biasa. Tapi..... ku kikis segala perasaan itu. Cemburu itukan fitrah wanita, tanda sayangkan suami.
Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan. Kelak hati sendiri yang merana. Bagiku, kasih dan redha suami padaku itu yang penting, bukan kasihnya pada orang lain. Selagi aku tahu, kasihnya masih utuh buatku, aku sudah cukup bahagia. Dan aku yakin, ketaatan, kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya itulah kunci kasihnya kepadaku. Aku ingin nafasku terhenti dalam keadaan redhanya padaku, supaya nanti Allah jua meredhai aku. Kerana sabda Rasulullah s.a.w

"Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga." (Riwayat-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah).

Sungguh bukan mudah aku melalui semuanya itu. Saban hari aku berperang dengan perasaan. Perasaan sayang, luka, marah, geram, cemburu semuanya bercampur aduk. Jiwaku sentiasa berperang antara kewarasan akal dan emosi. Pedih hatiku hanya Tuhan yang tahu. KepadaNyalah aku pohon kekuatan untuk menempuhi segala kepedihan itu. KepadaNyalah aku pinta kerahmatan dan kasih sayang, semoga keresahan hati ini kan berkurangan.

Namun, jika aku punya pilihan, pastinya aku tidak mahu bermadu. Kerana ia sesungguhnya memeritkan. Perlukan ketabahan dan kesabaran. Walau bagaimanapun, aku amat bersyukur kerana suamiku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Dan aku juga bersyukur kerana menjadi intan terpilih untuk menerima ujian ini.

arien