Saturday, December 26, 2009

Sulh Tamatkan Pertikaian

KELUARGA

ARKIB : 25/12/2009


SOALAN




Saya dan suami sedang menjalani prosiding penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Perbicaraan kami sudah ditetapkan bulan ini oleh mahkamah. Saya dimaklumkan mengenai kaedah Sulh akan dijalankan di mahkamah. Saya ingin tahu mengenai prosedur, aplikasi dan keberkesanan kaedah Sulh ini terhadap kes penceraian saya. Saya harap pihak SIS dapat membantu. Saya juga berharap jawapan yang diberikan dapat dikongsi. ~ Rahmah, Shah Alam


Jawapan

Islam menganjurkan perdamaian terhadap apa sahaja pertikaian berdasarkan konsep reda-meredai dan bertolak ansur. Merujuk kepada kitab al-Bajuri, Ibrahim, Hashiyah Bajuri al-Haramian, Vol 1, Sulh dari segi bahasa diertikan sebagai penamatan sesuatu pertikaian. Manakala menurut istilah syarak pula adalah suatu akad yang dengannya tamat sesuatu pertikaian. Manakala, merujuk kepada Majalah al-Ahkam al-Adliyyah, al-Sheikh Nazzam dan Qadri Basha menerangkan bahawa Sulh ialah akad yang menamatkan pertikaian secara sukarela dan reda-meredai.

Untuk makluman puan, kaedah Sulh telah pun diperkenalkan dan dilaksanakan di Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia. Dari segi undang-undang, Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 pada dasarnya menyatakan bahawa Sulh itu dalam suatu bentuk proses berdasarkan prosedur tertentu yang digalakkan.

Kaedah Sulh mengutamakan instrumen penyelesaian pertikaian secara perdamaian. Kaedah ini merupakan alternatif kepada kaedah perbicaraan yang kebiasaannya memakan masa yang agak lama dan melibatkan kos yang tinggi.

Tuntutan atau permohonan yang boleh diselesaikan melalui kaedah Sulh boleh diklasifikasikan kepada dua kategori. Pertama, tuntutan atau permohonan menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Tuntutan atau permohonan menurut enakmen tersebut adalah seperti tuntutan kerana melanggar janji untuk berkahwin atau pertunangan, tuntutan-tuntutan berbangkit dari suatu perceraian seperti mutaah, nafkah idah, nafkah tertunggak, harta sepencarian, hutang mas kahwin dan lain-lain yang difikirkan munasabah, tuntutan hak jagaan anak (hadhanah) dengan melihat kepentingan anak-anak tersebut dalam tempoh perkahwinan, mahupun selepas perceraian, tuntutan nafkah anak dan lain-lain perkara yang difikirkan sesuai oleh pendaftar.

Manakala kategori kedua adalah tuntutan atau permohonan yang diperuntukkan dalam bidang kuasa asal Mal Mahkamah Syariah Selangor di bawah Seksyen 61(3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Setelah kes Sulh dikenal pasti, satu notis Sulh dikeluarkan. Di dalam proses ini, pihak yang mengendalikan Majlis Sulh perlu mematuhi Manual Kerja Sulh yang telah ditetapkan.

Merujuk kepada Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001 memperuntukkan bahawa kehadiran pihak-pihak terlibat sahaja di hadapan pengerusi tanpa wakil atau peguam syarienya (jika ada) di dalam Majlis Sulh kecuali dengan kebenaran pengerusi. Ini bertujuan untuk memberi ruang yang lebih luas bagi pihak-pihak untuk berbincang secara bersemuka.

Bagi Majlis Sulh yang berjaya persetujuannya baik sebahagian atau keseluruhannya akan dibawa ke hadapan hakim untuk direkodkan sebagai perintah mahkamah. Sebarang persetujuan yang dicapai hendaklah dibuat dalam bentuk perjanjian penyelesaian dan ditandatangani oleh pihak-pihak di hadapan pengerusi di dalam Majlis Sulh dan akan dibawa kepada hakim untuk direkodkan sebagai perintah mahkamah.

Bagi Majlis Sulh yang gagal, baik sebahagiannya atau keseluruhannya akan dibawa ke hadapan hakim untuk proses sebutan dan perbicaraan sebelum keputusan atau perintah dibuat oleh hakim bicara.

Dalam erti kata yang lain, secara praktikalnya kaedah Sulh merupakan suatu prosedur yang merujuk kepada proses di mana pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu pertikaian terhadap satu atau beberapa tuntutan di Mahkamah Syariah, dipanggil dan dipertemukan di dalam suatu majlis perundingan (Majlis Sulh) secara rasmi, yang diatur oleh mahkamah berdasarkan prosedur tertentu. Dan seandainya perdamaian tercapai melalui perjanjian penyelesaian, ia akan direkodkan sebagai suatu perintah mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan biasa dan keputusan ini adalah mengikat pihak-pihak yang bertikai.

Keberkesanan perlaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah sebagai membuktikan bahawa kaedah ini mampu mengurangkan masalah kes tertangguh yang membelenggu Mahkamah Syariah dan sering diperkatakan selama ini. Kaedah Sulh merupakan satu bentuk kaedah alternatif yang efektif kepada masyarakat selain kaedah perbicaraan dan timbang tara untuk mendapatkan penyelesaian.

Bagi menjamin perlaksanaan Sulh yang lebih berkesan, ia amat memerlukan kepada peranan yang dimainkan oleh semua pihak yang terlibat. Pihak-pihak bertikai perlu rela untuk mencari jalan penyelesaian dan berfikiran terbuka serta mempunyai sifat reda-meredai. Maka, jelaslah Sulh merupakan cara rundingan yang terbaik dan terpimpin dalam menyelesaikan sesuatu konflik sejajar dengan galakan hukum syarak.

Diharap informasi dan maklumat di atas dapat membantu puan dalam mengetahui dan memahami prosedur Sulh. Walaubagaimanapun, prosedur atau tetapan kaedah Sulh ini tertakluk kepada Majlis Sulh dan Mahkamah Syariah itu sendiri. Pihak kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai perkara-perkara yang berkaitan.

~ http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment