Wednesday, December 16, 2009

Adab Menziarahi Orang Sakit



Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.


Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya orang-orang Islam itu adalah bersaudara dan persaudaraan yang diikat dengan perasaan cinta-mencintai dan kasih mengasihi akan dapat menghasilkan hubungan yang harmoni dan bahagia dalam kehidupan. Islam menganjurkan beberapa amalan yang boleh kita lakukan bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama Islam, antaranya seperti menziarahi saudara-saudara kita yang sakit.

Menziarahi orang sakit adalah amalan yang disukai Allah Subhanahu Wata'ala dan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, hukumnya adalah sunat muakadah dan ia merupakan salah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai seorang Muslim sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dia berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Hak seorang Muslim keatas Muslim yang lain ada lima perkara : Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Namun begitu, menziarahi orang sakit tidaklah hanya terbatas kepada menziarahi ahli keluarga sahaja bahkan menyeluruh kepada sesiapa sahaja, baik sahabat handai mahupun jiran tetangga.
Wahai kaum Muslimin yang berbahagia, Sesungguhnya amalan menziarahi orang sakit itu banyak hikmahnya dan fadilatnya, diantaranya mengukuhkan tali persaudaraan sesama Islam, melahirkan rasa kasih sayang dan sifat belas kasihan, sentiasa ingat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, mendatangkan keinsafan kepada kita, ingat kepada kematian dan seterusnya mendorong kita untuk bertaubat. Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka yang menziarahi orang yang sakit, ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Ali Radiallahuanhu ia berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada seorang Muslim itu melawat seorang Muslim yang sakit pada waktu pagi melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu petang dan tiada dia melawatnya pada waktu petang melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu pagi dan adalah baginya kebun tempat memetik buah-buahan di dalam Syurga". (Riwayat Al-Imam At-Termizi)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Ketika menziarahi orang sakit, Islam menetapkan adab-adab yang perlu kita patuhi, antaranya tidak duduk terlalu lama ketika berziarah kerana dikhuatiri orang yang sakit itu merasa kurang selesa, keluh kesah dan menghalang pergerakannya. Akan tetapi tidaklah makruh duduk lama jika kunjungan itu dapat mententeramkan dan menghiburkan hatinya.

Selain itu, ketika berada di sisi orang yang sakit, kita disunatkan menyenangkan dan mententeramkan hatinya serta menyuruhnya supaya sentiasa bersabar kerana semua itu adalah sebahagian dari ujian Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hamba-Nya. Kita ambil iktibar kisah kesabaran Nabi Ayub Alaihissalam yang menderita sakit akibat penyakit gatal yang sangat dahsyat. Apabila digaru dengan kuku, maka kuku Baginda akan tanggal tetapi masih juga bertambah gatal. Kemudian Baginda terpaksa menggaru dengan barang yang kesat. Tidak cukup dengan itu, Baginda menggaru badannya dengan pecahan periuk dan akhirnya dengan batu. Namun masih juga merasa gatal. Sehingga dengan tidak disedarinya dagingnya telah luka dan koyak. Maka keluar dari tubuh Baginda yang luka itu nanah yang berbau busuk sehingga orang ramai yang tinggal di sekitarnya tidak tahan dengan bau busuk itu lalu mereka mengusir Nabi Ayub dari negeri tempat tinggalnya ke tempat terpencil. Semua orang memencilkannya kecuali isterinya yang mendampinginya dan merawatnya.

Walaupun Nabi Ayub telah ditimpa penyakit, harta bendanya punah-ranah, anak-anaknya ditimpa malang dan mati semuanya tetapi berkat kesabarannya dan imannya yang teguh terhadap Allah Subhanahu Wata'ala, maka akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala telah memakbulkan doa dan rayuannya lalu dia pun sembuh seperti sediakala dan berkembanglah keturunannya serta dikurniakan harta benda yang melimpah ruah. Itulah sifat mulia yang patut kita contohi iaitu bersabar dan redha ketika menerima ujian sakit dari Allah Subhanahu Wata'ala.
Ketahuilah saudara-saudara sekalian bahawa sakit itu mempunyai banyak hikmat kerana orang yang sakit, jika dia bersabar serta redha kepada ketentuan Allah maka dia akan mendapat pengampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Selain itu doa orang yang sakit adalah mustajab sehingga diumpamakan doa mereka itu seperti doa para malaikat dan kita disunatkan meminta daripada orang yang sakit itu supaya dia mendoakan bagi kita.

Muslimin yang diberkati Allah,

Kita sebagai umat Islam adalah digalakkan untuk berdoa, baik ketika senang mahupun susah, baik untuk diri sendiri mahupun untuk kebaikan dan kesejahteraan orang lain. Oleh itu jika kita datang menziarahi orang sakit atau mendengar khabar mereka yang sakit, kita disunatkan mendoakan mereka supaya lekas sembuh. Islam banyak mengajarkan doa dan amalan dari ayat-ayat Al-Quran untuk mengubat penyakit yang dihidapi. Sebagai contoh, ketika menziarahi orang sakit bacalah kepada mereka Surah Al-Ikhlas, Surah Al Falaq dan Surah An-Naas.

Manakala jika orang yang kita ziarahi itu hampir meninggal dunia, sunat kita membacakan Surah Yaasiin ataupun membaca Surah Ar Ra'd. Andaikata orang yang sakit itu dalam keadaan tenat, tiada harapan untuk sembuh atau dalam keadaan nazak maka sunat bagi orang yang menziarahinya lebih-lebih lagi orang yang akrab dengan pesakit mentalqinkan atau membisikkan di telinganya kalimah 'Laa ilahahillallah', mudah-mudahan matinya nanti diakhiri dengan menyebut kalimah 'Laa ilahahillallah' kerana barangsiapa yang akhir kalamnya menyebut 'Laa ilahahillallah' maka nescaya akan dimasukkan ke dalam Syurga.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Perlu diingat semasa menziarahi orang sakit, kita hendaklah menjaga tingkah laku, tutur kata dan percakapan kita dengan baik serta tidak berbuat bising. Bahkan semasa Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sakit, Baginda pernah menyuruh para sahabat yang berbuat bising untuk meninggalkan Baginda.

Begitulah juga keadaannya jika kita menziarahi orang sakit yang berada di hospital untuk tidak berbuat bising. Selain itu kita patuhilah juga peraturan yang dikenakan oleh pihak yang berkenaan seperti mengikut jadual masa lawatan yang telah ditetapkan.
Akhirnya jadikanlah amalan menziarahi orang sakit sebagai budaya kita kerana ia mencerminkan perpaduan umat Islam dan dapat memberikan banyak pengajaran yang berfaedah bagi kita dan sama-samalah kita berdoa semoga kita dikurniakan keafiatan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Asy Syu'araa' ayat 78-80 tafsirnya :
"Tuhan yang menciptakan daku dari tiada kepada ada, maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku. Dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku".

~ Sumber  : Laman Web Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam


1 comment:

  1. terima kasih atas artikel. Ianya membantu saya memperolehi ilmu untuk saya menziarahi saudara yang meninggal dunia.

    ReplyDelete